AMPANG - Seorang wanita terkejut setelah mendapati tujuh utas jam tangan berjenama bernilai RM300,000 hilang selepas pulang dari menunaikan haji dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Melawati di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa yang berumur lingkungan 50-an itu awalnya mendapati pintu biliknya telah dirosakkan.
"Siasatan dijalankan polis membawa kepada tangkapan dua suspek yang terdiri daripada wanita berumur 26 tahun dan lelaki berumur 21 tahun dalam serbuan kira-kira jam 1.30 petang di sebuah rumah di Subang Jaya," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Katanya, siasatan kemudiannya mendapati kedua-dua suspek masing-masing merupakan ahli muzik sambilan dan pelajar itu sebelum ini telah dijemput anak mangsa untuk datang ke rumah tersebut.
"Kedua-dua suspek bersama antara lapan hingga 10 rakan anak mangsa telah hadir ke rumah tersebut setelah dijemput untuk datang.
"Pertengkaran bermula apabila berlakunya salah faham berkaitan urusan pinjaman wang yang dibuat oleh anak mangsa dengan menggunakan nama suspek dan kemudian tercetusnya pertengkaran sehingga anak mangsa mendakwa telah dipukul," katanya.
Menurutnya, suspek kemudiannya bertindak memecah masuk ke dalam bilik mangsa sebelum mengambil beberapa barangan termasuk dipercayai jam tangan yang hilang tersebut.
"Semakan mendapati suspek wanita mempunyai beberapa rekod jenayah manakala suspek lelaki tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.
"Ujian saringan dijalankan mendapati kedua-dua suspek positif dadah," katanya.
Ujar Hussein, kedua-dua suspek kemudiannya direman empat hari untuk siasatan selanjutnya.
"Siasatan lanjut berkaitan kejadian ini masih dijalankan dan akan ada tangkapan selanjutnya selepas ini.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.