KUALA LUMPUR - Gabungan Persatuan Industri Muzik Malaysia (Music Malaysia) menyokong sepenuhnya tindakan tegas kerajaan yang menghentikan persembahan kumpulan dari British iaitu The 1975 kerana melakukan perbuatan jelik di Festival Good Vibes 2023 (GVF 2023) pada Jumaat.
Pengerusi Music Malaysia, Datuk Freddie Fernandez berkata, perbuatan jelik sedemikian adalah tidak wajar dan tidak sepatutnya dilakukan.
"Apa yang kita dapat lihat ialah jurucakap kumpulan itu tidak berpuas hati dengan peraturan dan syarat yang dikenakan oleh pihak berkuasa Malaysia ke atas mereka yang disampaikan oleh penganjur tempatan. Daripada mematuhinya, jurucakap kumpulan itu sebaliknya ingkar dan memilih untuk menghina kerajaan Malaysia dengan melontarkan kecaman yang penuh dengan kata-kata kotor.
"Saya menggesa semua penganjur di negara ini agar memaklumkan terlebih dahulu kepada semua artis luar yang ingin dijemput ke sini bahawa ada peraturan yang perlu dipatuhi dan jika mereka tidak setuju maka lebih baik tidak usah datang langsung,” menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, Malaysia tidak perlu mengulangi insiden di mana seorang penghibur yang tidak boleh dikawal boleh mencemar nama naik negara yang begitu menyokong industri muzik dan konsert oleh artis luar sejak lebih lima dekad.
Music Malaysia terdiri daripada Persatuan Armada Seni Sarawak, Konsortium Industri Muzik Malaysia, Persatuan Penyanyi dan Pelakon India, Persatuan Komposer dan Penerbit Video Sabah, Persatuan Karyawan Malaysia, Persatuan Dikir Barat Kelantan serta Persatuan Seni, Festival Langsung dan Acara.
Turut bergabung Persatuan Pendidikan Muzik Malaysia, Persatuan Artis Pulau Pinang, Persatuan Artis Cina, Persatuan Pemuzik Kedah serta Persatuan Pub dan Pemilik Restoran.
Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengumumkan bahawa beliau telah mengarahkan agar GVF 2023 dibatalkan serta-merta kerana pendirian Kerajaan Perpaduan adalah jelas selain tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mencabar, memperkecil atau melanggar undang-undang Malaysia.
Keputusan itu diumumkan selepas Fahmi memanggil penganjur festival itu, Future Sound Asia, untuk memberi penjelasan mengenai insiden kontroversi membabitkan The 1975 semasa konsert yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN:
Aksi sangat biadab The 1975: Fahmi minta penganjur Good Vibes Festival 2023 beri penjelasan
Aksi sangat biadab The 1975: Pengunjung boleh tebus tiket kemasukan
Henti konsert The 1975 bukti kerajaan tegas - Penganalisis