SHAH ALAM - Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub tampil menafikan penglibatan dengan pihak kononnya menawarkan skim pelaburan saham patuh syariah di media sosial Facebook.
Beliau mendakwa, ia modus operandi scammer dan berharap orang ramai tidak tertipu dengan iklan berkenaan.
"Ini scam, jangan percaya. Penipu,” katanya pada Sabtu.
Iklan berlegar di media sosial itu menggunakan gambar Hussamuddin dan juga Pengerusi Lembaga Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan suntingan skim pelaburan serendah RM300.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff ketika dihubungi berkata, laporan polis akan dibuat segera bagi memastikan tidak ada pihak yang menjadi mangsa.
"Ramai yang memberikan pelbagai respons di ruangan komen hantaran berkenaan dan apa yang dibimbangi ada yang percaya dan mungkin tertipu,” katanya.
Katanya lagi, poster disunting itu pada asalnya adalah promosi bagi program Arafah #QuranHour yang berlangsung pada 28 Jun lalu.
"Kita tidak pernah membenarkan mana-mana pihak untuk menggunakan atau menyunting poster bagi setiap program kami bagi tujuan promosi sebarang bentuk pelaburan.
"Kita harap tidak ada lagi pihak yang menggunakan gambar individu yang terlibat dalam program berkaitan al-Quran bagi tujuan meyakinkan orang ramai dengan penipuan mereka," jelasnya.