Ilmu, adab, akhlak perlu ada elak situasi tegang dalam masyarakat

Iklan
Anwar (dua dari kiri) menyaksikan penyerahan dokumen perjanjian (MOU) antara wakil Kolej Universiti Yayasan Pahang (tiga dari kiri) dengan Universiti Jamia Markaz India diwakili oleh Mufti Besar India, Al-Allamah Sheikh Abu Bakar Ahmad (tiga, kanan) pada Seminar Penghayatan Sahih Al-Bukhari dan Peluncuran Majlis Hadis Sahih Al-Bukhari Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra malam Sabtu. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Elemen ilmu, adab dan akhlak perlu ada dalam sesebuah masyarakat Islam bagi mengelakkan situasi tegang akibat perbezaan pendapat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagi menyemai elemen berkenaan dalam kalangan masyarakat, Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan pimpinan beliau sentiasa menjemput ulama terkenal dari dalam dan luar negara untuk menyebarkan ilmu melalui majlis agama yang diadakan secara berkala.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sejarah membuktikan elemen berkenaan adalah perkara penting pada zaman Nabi Muhammad SAW ketika persiapan sebelum penghijrahan dari Kota Makkah ke Kota Madinah pada tahun 622 Masihi.

"Prinsip-prinsip ini jika diketepikan akan menyebabkan sesebuah masyarakat jadi tempang dan jatuhkan hukum sewenang-wenangnya.

Iklan

"Kita (kerajaan) tekankan soal pendidikan dan kita guna dana untuk ilmu berkaitan Islam,” katanya ketika berucap pada Peluncuran Majlis Hadis Sahih Al-Bukhari Peringkat Kebangsaan di sini malam Sabtu.

Perdana Menteri berkata, umat Islam perlu menyelami sirah Islam untuk mengetahui sejarah perjuangan Nabi Muhammad dan para sahabat dalam pelbagai peristiwa penting Islam sebagai usaha mengelakkan perpecahan akibat perbezaan pendapat.

Iklan

Beliau turut meminta supaya buku Adab Perbezaan Pendapat tulisan Sheikh Taha Jabir Fayyad al-Awani diterbitkan semula oleh Jakim sebagai antara usaha untuk membasmi perpecahan dan kehilangan adab akibat perbezaan pendapat.

Terdahulu, Anwar menunaikan solat Maghrib secara berjemaah di Masjid Putra yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Putra Salahuddin Ghozali.

Perdana menteri turut menyerahkan surat lantikan sebagai Profesor Adjung Institut Peradaban Islam Antarabangsa dan Felo Kehormat Institut Kepimpinan Strategik Tun Ghazali Shafie kepada Mufti Besar India yang juga Pengasas Universiti Jamia Markaz di Kerala, India Al-Allamah Sheikh Abu Bakar Ahmad.

Anwar turut menyaksikan pemeteraian perjanjian persefahaman di antara Kolej Universiti Yayasan Pahang dan Universiti Jamia Markaz.

Majlis itu bermula pada 2 petang dengan dua syarahan berkaitan sahih al-Bukhari yang disampaikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Profesor Madya Dr Luqman Abdullah dan Penasihat Agama Presiden Mesir Sheikh Dr Usamah Sayyid Al-Azhari.

Majlis itu, yang dihadiri kira-kira 3,000 jemaah, diakhiri dengan solat Isyak secara berjemaah yang diimamkan oleh Penolong Pengarah Kanan Unit Pendidikan Masjid Putra Abdul Karim Zakaria. - Bernama