SHAH ALAM - Dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Kerajaan Perpaduan adalah kleptokrasi sangat tidak berasas kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah individu yang mengumpul kekayaan melalui kedudukannya.
Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Razeef Rakimin berkata, Anwar juga bersih daripada sebarang pertuduhan mahupun terkait dengan sebarang isu rasuah serta salah guna kuasa.
"Saya mengambil contoh penurunan harga barang seperti minyak masak, harga ayam, tepung dan banyak lagi keperluan asas lain. Malah ketika harga barang seluruh dunia menampakkan peningkatan, kerajaan hari ini cuba mengawal kenaikan serta mengekalkan subsidi walau berdepan dengan krisis ekonomi global," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Razeef turut mendakwa, ucapan Dr Mahathir sebenarnya lebih menyindir Perikatan Nasional (PN) kerana mereka kerajaan paling gagal dalam sejarah tanah air.
Beliau turut menyatakan bahawa bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tersebut sudah tidak relevan apatah lagi ditolak oleh rakyat sehingga hilang wang pertaruhan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
"Mahathir mungkin boleh bangga diri kerana dikutip oleh Pas yang pernah beliau gelar dengan pelbagai gelaran kesat, namun beliau tidak sedar beliau hanya dipergunakan di akhir hayat.
"Percayalah, apa yang keluar dari mulut Mahathir tidak boleh dipercayai seperti yang diperkatakan beberapa pemimpin Pas sebelum ini tentangnya.