KEJAYAAN Kelantan FC membawa satu mata dari Stadium Negeri, Kuching ketika menentang Kuching City FC pada perlawanan Liga Super disifatkan petanda positif buat kelab dari Pantai Timur itu.
Malah, pengendali The Red Warriors (TRW), Angel Alfredo Vera memuji semangat juang tinggi dalam kalangan pemain terutama pemain muda ketika menyaingi The Cats.
"Kita datang ke Kuching untuk raih satu atau tiga mata. Kita tidak ke sini untuk membiarkan Kuching City menguasai permainan, sebaliknya kita pun bermain secara menyerang.
"Bagi saya, satu mata yang dibawa pulang dari Kuching sudah cukup bagus apabila kita dibarisi pemain muda berusia 23 dan 20 tahun,” katanya selepas perlawanan.
Sebagai rekod, TRW menurunkan lapan pemain bawah 23 tahun, dua pemain bawah 20 tahun dan seorang pemain kuota import Asean dalam kesebelasan utama ketika berdepan Kuching City.
Sementara itu, pemain simpanan pula terdiri daripada tiga pemain dalam kalangan bawah usia 23 tahun dan empat pemain bawah 20 tahun.
TRW sebelum itu mengakhiri kemarau kekalahan apabila mengutip mata pertama dalam 11 perlawanan selepas mengikat Kuching City 2-2 pada aksi Liga Super di Kuching.
Anak buah Alfredo Vera bermula garang apabila hasil jaringan jarak jauh Mohamad Hafizan Ghazali pada minit keempat
The Cats berusaha untuk mencari gol penyamaan berjaya merealisasikannya menerusi jaringan Abu Kamara pada minit ke-58.
Kamara sekali lagi menjadi duri dalam daging buat TRW apabila menyempurnakan sepakan penalti berselang tujuh minit kemudian.
Namun, TRW yang mempamerkan semangat juang tinggi untuk mencuri satu mata, akhirnya dijaringkan Natanael Siringo pada minit ke-79 sekali gus mengikat keputusan 2-2.