PETALING JAYA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang menjalankan siasatan dalaman berkaitan insiden kemalangan melibatkan sebuah helikopter milik agensi itu di Institut Teknologi Penerbangan Malaysia Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIAT), dekat Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang di sini, pada Sabtu.
JBPM dalam kenyataan berkata, tindakan susulan akan diambil selaras dengan arahan dan prosedur semasa yang berkuat kuasa.
"Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) juga sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian," katanya pada Ahad.
Tambah kenyataan itu, kemalangan helikopter model Agusta, AW189 dengan nombor pendaftaran 9M-BOF milik JBPM itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 11.45 pagi, Sabtu.
"Helikopter tersebut dilaporkan telah ditugaskan untuk menjalani pengujian enjin dan sistem setelah melalui proses selenggara berkala yang ditetapkan oleh pihak pengeluar sebagaimana dalam program selenggaraan," katanya.
Jelasnya, kemalangan helikopter itu berlaku ketika ia masih belum membuat penerbangan.
"Keadaan cuaca semasa kejadian dilaporkan mendung, tanpa sebarang halangan di tempat kejadian," katanya.
Menurut kenyataan itu, ketika kejadian, helikopter dikendalikan oleh Timbalan Penguasa Bomba II Hasrizal Kamaruzzaman (komander pesawat) dibantu oleh Penolong Kanan Penguasa Bomba Che Muhammad Azlan Che Mohammad (juruterbang) dan Pegawai Bomba Kanan Fua’ad Jamaluddin (air quartermaster).
"Selain itu, seramai empat orang kru penyelenggara dari sebuah syarikat berada dalam helikopter tersebut," katanya.
Menurutnya, kesemua mangsa telah mendapat rawatan dan pemeriksaan awal di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
"Mangsa dilaporkan tidak mengalami apa-apa kecederaan kecuali seorang kru penyelenggara yang mengadu sakit pinggang dan diarahkan untuk membuat pemeriksaan lanjut di klinik kesihatan berhampiran.
"Setelah pemeriksaan rapi dibuat dia telah dibenarkan pulang," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiga pegawai bomba antara tujuh mangsa kemalangan helikopter