Lelaki cuba lari ditahan bersama dadah

Iklan

KUALA TERENGGANU - Cubaan seorang lelaki melarikan diri sejurus menyedari rumahnya diserbu pihak berkuasa tidak berhasil apabila dia ditahan selepas dikejar polis di rumah itu di Kampung Bukit Tunggal, Kuala Nerus kelmarin.

Suspek berusia 26 tahun itu ditahan dalam serbuan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, kira-kira jam 11.30 malam.

Iklan
Iklan

Ketua JSJN Terengganu, Superintendan Roslan Tahir berkata, setibanya di lokasi, didapati seorang lelaki berada di bahagian pintu belakang rumah tersebut.

"Selepas menyedari kehadiran anggota, suspek cuba melarikan diri ke arah belakang rumah, sebelum dikejar dan akhirnya berjaya ditahan dan dibawa ke sebuah bilik di bahagian bawah rumah tersebut.

Iklan

"Pemeriksaan dilakukan dan menemui satu kotak rokok di atas lantai berisi bahan tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Menurutnya, selepas disoal siasat suspek mengaku ada menyimpan ubat batuk di belakang rumah dan daun ketum dalam keretanya.

Iklan

"Suspek membawa anggota ke belakang rumah sebelum menunjukkan kotak di tepi pagar yang mengandungi dua bungkusan plastik. Setiap bungkusan ada satu tabung botol plastik berisi cecair kehitaman disyaki dadah (ubat batuk).

"Selain itu, suspek turut membawa anggota ke bahagian hadapan rumah dan menunjukkan sebuah kereta jenis Honda yang mempunyai 10 bungkusan plastik di bahagian bawah tempat duduk belakang," katanya.

Roslan berkata, setiap bungkusan yang diikat dengan getah dipercayai berisi daun ketum itu dirampas dan suspek turut ditahan untuk siasatan lanjut.