SHAH ALAM - Seorang calon baharu mewakili Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tampil memberikan penjelasan berhubung tujuannya melibatkan diri dalam kancah politik kerana ingin membantu golongan serba kekurangan memiliki kad orang kurang upaya (OKU).
Pempengaruh media sosial, Muhammad Noriswan Ishak, 32, berkata, beliau tidak berniat mempersendakan kekurangan fizikal rakannya susulan video pada tiga tahun lalu kembali tular selain menyatakan hasrat ingin berbakti kepada masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Repah, Negeri Sembilan.
"Semua orang tahu kawan saya sengau, tidak ada lelangit di dalam mulut, sepatutnya dia dapat kad OKU.
"Apabila saya membuat aduan kepada pihak sepatutnya, jawapan diberikan adalah rakan saya tidak layak mendapat kad OKU,” katanya menerusi siaran di Tik Tok pada awal pagi Ahad.
Video pada 2021 kembali tular kononnya Noriswan mengejek rakan karibnya yang juga pempengaruh media sosial TikTok, mengalami masalah kurang upaya sehingga tindakannya disalah tafsir orang ramai.
Menyedari kesilapan, beliau bersama tiga rakan lain memohon maaf secara terbuka dan berjanji tidak akan mengulanginya selepas laporan polis dibuat Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi.
Mengulas lanjut, Noriswan mengakui masih ramai golongan yang mempunyai kekurangan tersebut tidak memiliki kad berkenaan selain diejek dan disisihkan masyarakat.
"Saya jelaskan sekali lagi, demi mendapatkan kad OKU kawan baik, saya sanggup kisah yang tular ini diketahui ramai di seluruh negara. Saya juga mahu suara rakyat di kawasan saya bertanding didengari.
"Tiada masalah jika orang ramai menghina saya tetapi isu yang paling penting untuk diketengahkan adalah masalah dihadapi golongan OKU ini,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Muda umum 10 lagi calon bertanding PRN