KOTA BHARU - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) memohon pelarasan semula harga kontrak baja bagi pembekalan tahun 2021 hingga 2023 berikutan peningkatan kos bahan mentah yang naik mendadak antara 200 hingga 300 peratus.
Permohonan berjumlah RM1.26 bilion itu sudah mendapat persetujuan kerajaan dan kini dalam proses untuk kelulusan.
Pengerusi Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob berkata, dalam tempoh masalah kewangan tiga tahun lalu, pertubuhan itu tetap membekalkan baja kepada pesawah walaupun mengalami kerugian.
"Nafas tetap mengambil inisiatif menanggung kenaikan harga bahan mentah itu dan membekalkan 100 peratus baja tanpa kelewatan bagi mengelakkan pesawah terjejas dan menjamin bekalan makanan negara," katanya.
"Ketika kontrak dilaksanakan, belum lagi berlaku kenaikan. Bagaimanapun akibat pandemik Covid-19 dan perang Rusia-Ukraine menyebabkan dua pertiga bahan kimia untuk baja dan uria yang diimport berlaku kenaikan mendadak," katanya.
Jelas Zamri, Kementerian Pertanian dan Kementerian Kewangan kini sedang memperhalusi permohonan berkenaan.
"Kerajaan Perpaduan memberi respon positif terhadap tuntutan berkenaan dan kini dalam proses akhir perbincangan untuk menyelesaikan perkara itu," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Bantuan Sentuhan Agro Madani oleh Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Muhammad Sabu di Institut Pengurusan Peladang, Panji pada Ahad.
Tambah beliau, wang berkenaan juga menjamin Nafas untuk melaksanakan pelbagai program bagi membantu kerajaan melibatkan penyelidikan dan pembangunan, program digital dan semua mekanisasi melibatkan pesawah.
"Semua itu memerlukan modal. Jadi kita memohon kos untuk bahan mentah ini supaya boleh teruskan agenda Nafas khusus untuk Peladang," katanya.
Baru-baru ini melalui Program Santai Peladang, Menteri KPKM di Wilayah Utara juga melancarkan kempen Nafas ke arah Zero Late Delivery Penghantaran baja subsidi yang menunjuklan komitmen pertubuhan itu dalam melaksanakan kerja-kerja pembekalan baja.
Sebelum itu, Muhammad dalam ucapannya memaklumkan kerajaan bersedia membantu Nafas yang memberi manfaat kepada pesawah.
Beliau berkata, Kementerian Kewangan sudah bersetuju meluluskan kewangan untuk tujuan berkenaan.