KOTA KINABALU - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan turun membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri bulan depan.
Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihaknya sedang menyusun jentera untuk membantu kempen di negeri yang terlibat dalam PRN.
"Sudah tentu kita pergi dan bantu parti Kerajaan Perpaduan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Jelajah Wanita GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada GRS akan turun berkempen sempena PRN di Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan yang diadakan serentak pada 12 Ogos depan.
Sementara itu, diminta mengulas ucapannya berhubung cadangan untuk menubuhkan dua lagi kawasan taman perindustrian di negeri ini, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah memaklumkan setakat ini terdapat dua lokasi dikenal pasti untuk perkara itu.
"Kita sudah bawa perkara ini dalam mesyuarat kabinet sebab dua taman perindustrian di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (Sogip) dan juga Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) sudah hampir penuh.
"Kita kena cari lokasi lain dan kabinet memutuskan untuk mencadangkan dua kawasan iaitu Kimanis dan juga kawasan antara Kota Belud ke Kota Marudu," katanya.