KUALA LUMPUR - Walaupun laluan udara sering menjadi pilihan umat Islam untuk ke Makkah, cara itu berbeza dengan Zulkepli Mo'minin, 55, yang tekad bermotosikal secara solo ke Tanah Suci bagi mengerjakan umrah.
Ekspedisi melalui jalan darat itu dijangka mengambil masa 95 hari dengan jarak sejauh lebih 18,000 kilometer merentasi 11 negara antaranya Thailand, Laos, China, Kazakhstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran, Kuwait dan Arab Saudi.
Zulkepli telah memulakan perjalanan solo itu sejak 8 Julai lepas dari Gombak, Selangor dan kini beliau telah sampai di Segi Tiga Emas, utara Thailand.
Menurut bapa kepada lima orang anak itu, beliau memilih ke Makkah dengan bermotosikal secara solo kerana ingin meneroka keindahan negara luar melalui setiap kawasan yang dilalui selain memberi peluang kepadanya untuk menginsafi kebesaran ciptaan Tuhan.
"Mengembara secara solo sudah menjadi minat saya sejak dari sekolah lagi. Untuk kali ini, daripada saya mengembara ke merata tempat tanpa tujuan, baik saya mencabar diri pergi ke Makkah, kota paling suci bagi umat Islam.
"Melalui permusafiran jalan darat ini jugalah saya berpeluang merasai jerih payah perjuangan orang-orang terdahulu yang bertebaran ke seluruh alam dalam menyebarkan agama Islam,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Pada kembara kali ini, Zulkepli menggunakan motosikal jenis Yamaha FZ150 miliknya yang telah berusia 10 tahun dengan beberapa modifikasi telah dilakukan termasuk menaik taraf enjin baharu sesuai dengan perjalanan jarak jauh.
Selain itu, motosikal yang ditunggang Zulkepli juga membawa bebanan bersama yang dianggarkan sebanyak 70 kilogram antaranya alat ganti motosikal, khemah, baju sejuk, makanan dan kit kecemasan.
Zulkepli yang juga pengusaha tasbih berkata, beliau menggunakan sebanyak RM70,000 hasil wang simpanannya untuk merealisasikan impiannya itu selain turut menerima sumbangan daripada orang ramai.
"Kos paling mahal adalah untuk merentasi China selama 16 hari iaitu berbelas ribu kerana setiap pengembara yang membawa kenderaan ke negara itu perlu membayar kos pemandu pelancong yang akan menemani sepanjang perjalanan,” katanya.
Ditanya bagaimana pemilihan laluan dilakukan, Zulkepli berkata, beliau membuat persediaan sejak dua tahun setengah lepas termasuk banyak membuat rujukan dengan pengembara motosikal terdahulu dan menonton di YouTube ekspedisi sama yang pernah dilakukan sebelum ini.
Orang ramai yang berminat mengikuti perkembangan kembara unik Zulkepli boleh layari Facebook rasminya, ‘Gombak ke Makkah 2023’ atau di TikTok ‘jiwakembara125’ yang dikemas kini dari semasa ke semasa. - Bernama