SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz digesa melepaskan jawatan sebagai Bendahari UMNO dan Barisan Nasional (BN) Selangor setelah tidak tersenarai sebagai calon parti itu menjelang pilihan raya negeri (PRN).
Ketua Pemuda UMNO Kota Raja, Mohd Zaffarollah Mohd Nordin berkata, tidak wajar Tengku Zafrul terus memegang jawatan utama parti sedangkan telah disisihkan daripada keputusan penting.
Dakwanya, Tengku Zafrul juga tidak dilibatkan dalam rundingan kerusi dan strategi parti di peringkat negeri.
"Pemuda UMNO Kota Raja berharap Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Tengku Zafrul dapat melepaskan jawatan Bendahari UMNO dan BN Selangor.
"Memegang jawatan tetapi disisihkan daripada keputusan penting menunjukkan pelantikan sebagai bendahari sekadar kosmetik semata-mata tanpa tanggungjawab yang signifikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Dalam pada itu, Zaffarollah berkata, walaupun kecewa Tengku Zafrul tidak dicalonkan pihaknya akan membantu Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi kerusi di kawasan itu.
"Walaupun kecewa dengan keputusan parti tidak mencalonkan Tengku Zafrul dalam PRN kali ini, kami di Pemuda UMNO akan tetap membantu calon-calon PH yang bertanding di Kota Raja,” katanya.
Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akur apabila nama beliau tidak tersenarai sebagai calon dalam PRN Selangor.
Katanya, sebagai ahli parti, beliau menyerahkan kebijaksanaan pucuk pimpinan untuk menentukan strategi terbaik untuk memenangi pilihan raya dan menyatakan komitmen untuk membantu calon Kerajaan Perpaduan dalam PRN.
ARTIKEL BERKAITAN:
BN umum 107 calon tanding PRN enam negeri
PRN: BN hanya bertanding 12 kerusi di Selangor
PRN: Nor Hafizah sekali lagi diberi kepercayaan tanding
PRN: Tengku Zafrul akur keputusan pucuk pimpinan
PRN: BN pertaruh semula Tok Mat, Reezal Merican
PRN: Isteri, anak Isa Samad calon BN di Juasseh, Bagan Pinang
Nama Tengku Zafrul tak disenarai UMNO Selangor - Tok Mat
PRN: Bekas Timbalan Menteri tanding DUN Ajil
PRN: Dua bekas Menteri Besar Terengganu pertahan kerusi DUN
BN pertaruh calon 'heavyweight', status Tengku Zafrul masih samar-samar