'Beri satu penggal Kerajaan Perpaduan tadbir Kelantan, bawa perubahan'

Iklan
Zahid berkata rakyat Kelantan perlu melakukan perubahan setelah 33 tahun negeri itu ditadbir di bawah kerajaan yang sama. - Foto Bernama

GUA MUSANG - Rakyat Kelantan perlu melakukan perubahan dengan memberi peluang kepada Kerajaan Perpaduan untuk memperoleh kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos nanti, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, rakyat Kelantan perlu melakukan perubahan setelah 33 tahun negeri itu ditadbir di bawah kerajaan yang sama.

Iklan
Iklan

"Berilah peluang kepada Kerajaan Perpaduan untuk melakukan perubahan di negeri ini. Kasihan rakyat negeri ini.

"Cuba beri satu penggal, lima tahun sahaja (kepada Kerajaan Perpaduan) kalau kami buat perkara sama atau tidak betul (tiada kemajuan) boleh tukar balik (kerajaan negeri).

Iklan

"Kali ini cuba beri dukungan kepada kami. Insya-ALLAH kami akan lakukan yang terbaik.

"Kepada ibu bapa beritahu anak-anak yang akan balik (untuk mengundi) dan sedia ada menetap di negeri ini, cukuplah sampai di sini kerana 33 tahun (pentadbiran) terlalu panjang," katanya.

Iklan

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada Program Silaturahim Timbalan Perdana Menteri bersama Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia peringkat Negeri Kelantan, di sini pada Ahad.

"Kita (Kerajaan Perpaduan) akan pastikan nasib rakyat Kelantan dibela dan kemunduran negeri ini ditebus dengan kemajuan lebih pesat.

"Kita akan terus bantu Kelantan dan apatah lagi sekiranya Kelantan berada di tangan Kerajaan Madani," katanya.

Selain Kelantan, lima lagi negeri yang turut mengadakan PRN ialah Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di keenam-enam negeri itu serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai hari pengundian manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 29 Julai dan 8 Ogos.

Ketika sidang media, Ahmad Zahid berkata, sekiranya Kelantan di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan selaku Kerajaan Persekutuan ketika ini, maka setiap rancangan untuk membangunkan ekonomi negeri itu lebih mudah untuk diselaraskan.

Ditanya mengenai isu pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara UMNO dan Parti Amanah Negara (Amanah) pada PRN di enam negeri itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, perkara itu telah dipersetuju dan dimuktamadkan oleh pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH). - Bernama