SEREMBAN - Sebuah pesawat khas akan diterbangkan ke Alor Setar, Kedah malam Ahad bagi membawa pulang jenazah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub ke Johor Bahru untuk disemadikan di kampung halamannya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya telah mengatur penerbangan khas menggunakan pesawat Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) atas permintaan keluarganya.
"Saya telah hubungi pihak pengurusan khas dan pesawat khas akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) pada jam 11 lebih dan sampai di Alor Setar sebelum berlepas ke Johor Baharu sekitar jam 1 pagi," katanya ketika berucap pada Majlis Pengenalan Calon Pakatan Harapan (PH) pada Ahad.
Selain itu beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan menyifatkannya sebagai seorang pejuang dan pemimpin yang sangat disanjungi dan disayangi penyokong PH.
Malah beliau juga setia dengan perjuangannya dan tidak pernah belot terhadap parti.
"Saya yakin arwah mahu kita teruskan perjuangan ini. Walaupun beliau sudah tinggalkan kita, tapi semangat dan roh beliau mesti diteruskan dengan membawa legasi beliau.
"Bagi saya dia bukan sekadar pemimpin Amanah tetapi juga PH yang membawa perjuangan kita selama ini," ujarnya.
Allahyarham yang mengalami pendarahan otak dilaporkan meninggal dunia pada jam 9.23 malam.
Sebelum ini, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Amanah dimasukkan ke hospital lewat malam kelmarin selepas mengadu tidak sihat serta muntah-muntah.
Doktor pakar mengesahkan terdapat pendarahan di bahagian otaknya dan beliau menjalani pembedahan segera awal pagi dan Salahuddin selamat menjalani pembedahan pada Sabtu.
<ARTIKEL BERKAITAN:
Salahuddin Ayub meninggal dunia
'Berehatlah sahabatku...' - Anwar
Suasana pilu selubungi ketibaan jenazah Salahuddin
Belangsungkawa Datuk Seri Salahuddin Ayub
Jenazah Salahuddin selamat disolatkan di Masjid Al-Badar
Jenazah Salahuddin dikebumi di Pontian tengah hari Isnin
Jenazah Salahuddin akan disembahyangkan di Masjid Al-Badar
Salahuddin aktif pastikan tiada kenaikan harga barang - Mat Sabu
Salahuddin rakan baik, budiman - Sanusi