Kerajaan Perpaduan berazam majukan Kelantan - Anwar

Iklan
Anwar (dua dari kiri) bersama Ahmad Zahid (dua dari kanan) hadir pada Program Jelajah Perpaduan MADANI dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kelantan di Pusat Transformasi Bukit Tiu malam Ahad. - Foto: Bernama

MACHANG - Kerajaan Perpaduan berazam untuk memajukan Kelantan jika calon parti yang mewakilinya berjaya menawan negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Iklan
Iklan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri amat penting untuk memastikan kebajikan rakyat terus terjaga serta terbela.

"Inilah masanya untuk rakyat perlu bangkit, percaya dan yakin dengan hasil kerja yang dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan.

Iklan

"Saya minta orang Kelantan faham, tolong selamatkan Kelantan dan Malaysia kerana ini adalah peluang kita sebab kita fikir nasib Melayu, jaga rakyat desa dan miskin bandar serta pembangunan di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Perpaduan MADANI dan Pelancaran Jentera Perpaduan di Kelantan dekat Bukit Tiu di sini malam Ahad yang turut dihadiri Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Iklan

Senada dengan keazaman itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menyeru agar rakyat Kelantan memberi peluang kepada parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan untuk mentadbir negeri itu.

"Semua calon yang bertanding perlu bekerja keras dan kita minta rakyat Kelantan beri peluang kepada calon-calon mewakili Pakatan Harapan dan BN untuk menang pada PRN kali ini sekali gus dapat mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Pas (yang telah memerintah) selama 33 tahun.

"Kalau kita menang, kita akan berlaku adil kepada semua rakyat, kita akan beri keutamaan kepada mereka yang memerlukan," katanya. - Bernama