PEP Guardiola memberi amaran penyerang Manchester City, Erling Haaland bersedia sekali lagi mengganas di Liga Perdana Inggeris selepas aksi cemerlang dipamerkan pemain itu pada perlawanan pra musim di Jepun.
Haaland yang menjaringkan 52 gol ketika City memenangi treble pada musim pertamanya di Etihad, bermula dari bangku simpanan pada separuh masa kedua untuk menjaringkan dua gol menentang juara Liga J1, Yokohama Marinos.
"Dia kelihatan baik tetapi dia masih jauh dari keadaan terbaiknya. Penting baginya untuk menjaringkan dua gol dalam perlawanan pertama kerana musim lalu dia tidak menjaringkan gol pada penghujung musim.
"Adalah penting dia tahu rentak dan prinsip kami dan kami bekerja sepanjang masa. Kami tahu apa yang dia perlu lakukan. Kami mengenalinya - dan dalam beberapa minggu lagi dia akan berada dalam keadaan yang lebih baik daripada sekarang," katanya.
John Stones, Julian Alvarez dan Rodri turut menjaringkan gol pada aksi sulung anak buah Guardiola selepas menang 1-0 ke atas Inter Milan di final UCL, bulan lalu.
Hanya empat pemain yang beraksi di final itu diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Marinos di Tokyo, dengan kapten, Ilkay Gundogan meninggalkan kelab itu untuk menyertai Barcelona.
Haaland, Rodri, Ruben Dias dan Bernardo Silva kemudian diturunkan pada babak kedua dan Guardiola mengesahkan kecederaan pemain tengah, Kevin De Bruyne semakin pulih.
City akan menentang Bayern Munich di Tokyo, Rabu ini sebelum bergerak ke Seoul untuk berdepan Atletico.