KUALA SELANGOR - Perikatan Nasional (PN) berikrar mengecualikan bayaran parkir di Selangor Utara sekiranya rakyat memberi mandat kepada parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada 12 Ogos depan.
Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu tidak sukar dilaksanakan kerana beliau dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi mempunyai pengalaman semasa mentadbir Selangor.
"Insya-ALLAH kalau orang Permatang, Sungai Burong, Tanjong Karang, Sungai Besar, Sabak Bernam, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan seluruh negeri (Selangor) ini, PN menang, kita kecualikan parkir di Selangor Utara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Pelancaran Jentera PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang di Tanjong Karang pada malam Ahad.
Mohamed Azmin memberitahu, semasa beliau menjadi Menteri Besar dan bersama Exco Pas dahulu, Selangor mempunyai empat bilion rizab negeri.
"Kita beri air percuma rezeki turun lagi, (kemudian) Skim Peduli Sihat, Skim Khairat (Mesra Usia Emas) dan Program Hijrah (Yayasan Hijrah Selangor).
"Ingat Hijrah?. Hendak berniaga tepi jalan, modal tidak ada hendak besarkan perniagaan tidak mampu, (kemudian) pergi bank tidak boleh meminjam dan kami (waktu itu) memberi modal (pinjaman Hijrah) dari RM10,000 hingga RM50,000.
"Belanja lah dan besarkan gerai serta warung, kami tidak kenakan sebarang faedah dan hanya membayar setiap bulan dengan kadar minimum," tambahnya.
Sebelum ini, dalam ucapan sama, bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar memberitahu, sejak dari dulu lagi penduduk di Tanjong Karang tidak bersetuju caj parkir kenderaan berbayar dikenakan PBT di kawasan terbabit.
Beliau memberitahu, kawasan Tanjong Karang masih dikategorikan sebagai kawasan luar bandar.
"Penduduk yang datang membeli barang bukannya lama, keluar minum di kedai sudah kena saman (kompaun).
"Saya yakin kali ini kalau PN menang (di Selangor) perkara ini dapat diselesaikan," jelas beliau.