Polis terima 18 laporan khianat kain rentang Malaysia Madani

Iklan
Hussein

SHAH ALAM - Sebanyak 18 kes khianat kain rentang Malaysia Madani direkodkan setakat 20 Julai di Selangor menjelang kempen pilihan raya negeri (PRN).

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mengikut pecahan, Kuala Selangor mencatatkan tujuh kes diikuti Kuala Langat dengan tiga kes, manakala selebihnya membabitkan daerah Kajang, Sungai Buloh, Klang Selatan dan Shah Alam masing-masing dengan dua kes.

Iklan
Iklan

"Kes ini disiasat bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada tangkapan oleh pihak polis," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, polis Selangor akan menjalankan siasatan secara terperinci berdasarkan laporan diterima dan tidak akan teragak-agak untuk membuat tangkapan terhadap pihak terlibat.

Iklan

Jelasnya, perbuatan khianat itu merujuk kepada perbuatan merosakkan kain rentang, mencabut atau menjatuhkan bendera parti.

"Polis sama sekali tidak berkompromi dengan perbuatan khianat sebegini dan tindakan akan diambil di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Iklan

Dalam masa sama, beliau mengingatkan aktiviti berkempen perlu dilakukan secara sihat dengan mematuhi peraturan serta undang-undang yang ditetapkan.

Pada 5 Julai lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian bagi enam PRN iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai manakala bagi pengundian awal pada 8 Ogos depan.