KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang telah kembali ke rahmatullah pada Ahad.
Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Menurut catatan di Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.
"Seri Paduka Baginda berdua menghargai jasa, khidmat dan bakti Allahyarham kepada negara serta menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada masyarakat dan negara,” menurut catatan itu.
Salahuddin, 61, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pada 9.23 malam Ahad.
Menurut catatan Istana Negara Allahyarham yang lahir pada 1 Disember 1961 pernah dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dari 2018 hingga 2020.
Allahyarham yang merupakan Ahli Parlimen Pulai dari tahun 2018 telah dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lepas.
Allahyarham juga pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) cawangan Pontian dari tahun 1981 hingga 1983, menurut catatan itu. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN:
Salahuddin Ayub meninggal dunia
'Berehatlah sahabatku...' - Anwar
Suasana pilu selubungi ketibaan jenazah Salahuddin
Belangsungkawa Datuk Seri Salahuddin Ayub
Jenazah Salahuddin selamat disolatkan di Masjid Al-Badar
Jenazah Salahuddin dikebumi di Pontian tengah hari Isnin
Jenazah Salahuddin akan disembahyangkan di Masjid Al-Badar
Salahuddin aktif pastikan tiada kenaikan harga barang - Mat Sabu
Salahuddin rakan baik, budiman - Sanusi