KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi tempoh sehingga hari ini kepada peniaga-peniaga yang berjaya memperolehi tapak di bazar Ramadan Jalan Raja untuk mula beroperasi bagi mengelakkan tapak terlibat ditarik balik.
Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Norhaslina Nordin, berkata, peniaga-peniaga terlibat juga akan disenarai hitam sekiranya gagal mematuhi arahan ditetapkan.
Menurutnya, tempoh itu telah diberikan sejak Ahad lalu untuk memasuki tapak yang telah ditetapkan.
"Wang cagaran berjumlah RM1,000 tidak akan dikembalikan jika mereka gagal untuk berniaga. Tapak mereka akan ditawarkan semula kepada peniaga lain yang layak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau dalam masa sama berkata, tidak timbul isu peniaga memboikot perniagaan di Jalan Raja kerana kesemua 344 lot lapak bazar ini telah dipenuhi dan tiada kekosongon sehingga kini.
"Kesemua peniaga yang berjaya dalam undian tempoh hari telah menjelaskan bayaran-bayaran yang ditetapkan termasuk wang cagaran," katanya.
Tambah Norhaslinda, Bazar Ramadan Jalan Raja beroperasi dari Jam 10 pagi hingga 10 malam sepanjang bulan Ramadan ini pada kebiasaannya akan dikunjungi pada lewat petang hingga ke malam kecuali pada hujung minggu.
"Kurangnya pengunjung pada sebelah pagi dan pada awal Ramadan adalah merupakan fenomena biasa pada setiap tahun. Keadaan ini pastinya akan berubah menjelang seminggu Ramadan," katanya.
Katanya lagi, penganjuran Bazar Ramadan Jalan Raja adalah satu langkah oleh DBKL untuk menonjolkan peniaga-peniaga di lorong-lorong belakang bangunan ke tahap yang lebih baik dan akan menjadikan mereka lebih dikenali dengan keterampilan yang lebih kemas dan bersih.
"Bazar Ramadan ini adalah merupakan bazar jualan khusus untuk persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
"Barangan yang dijual di sini hanyalah merupakan barangan kering seperti pakaian, perhiasan serta aksesori diri, perhiasan dan aksesori rumah, makanan kering berbungkus dan peralatan kering. Tiada juadah berbuka puasa serta aktiviti memasak dibenarkan di lokasi.
"Bazar Ramadan Jalan Raja ini juga memberi peluang kepada penjaja juadah berbuka puasa sedia ada yang terdapat di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) untuk berniaga dengan lebih selesa kerana telah diasingkan sepenuhnya.
"Pengasingan ini akan memudahkan kawalan dari segi kebersihan dan mutu makanan yang disediakan," katanya.
Sebelum ini media melaporkan suasana hari pertama operasi Bazar Ramadan Jalan Raja dan keluhan peniagan yang membandingkan suasana ketika di Lorong TAR dan Jalan Masjid India pada tahun-tahun sebelum ini yang lebih meriah.