KOTA BHARU - Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah menegaskan kemajuan dinikmati oleh rakyat Gua Musang hari ini adalah hasil kerja keras Pas memajukan kawasan tersebut dan bukan disebabkan Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, ia adalah hasil perancangan dibuat kerajaan negeri sepanjang pemerintahan 33 tahun.
"Sepanjang 12 tahun BN memerintah, setakat mana sahaja kemajuan di Gua Musang.
"Gua Musang maju sekarang ini hasil perancangan, usaha di zaman pemerintahan kita," katanya menerusi program diskusi Kelantan Maju 2028 yang disiarkan secara langsung melalui Facebook pada malam, Ahad.
Dalam masa sama beliau menjelaskan, pembangunan di Kelantan tidak sepatutnya dibandingkan dengan Selangor, Kuala Lumpur serta Pulau Pinang memandangkan ketiga-tiganya merupakan negeri maju yang turut mempunyai pelabuhan, jalan yang baik dan kemudahan lain.
Jelasnya, tindakan membanding-bandingkan Kelantan dengan ketiga-tiga negeri tersebut boleh diumpamakan sebagai pasukan bola sepak yang beraksi di Liga Super dengan Liga Perdana.
Sebaiknya, beliau berkata, perbandingan perlulah dibuat dengan negeri-negeri seperti Pahang dan Negeri Sembilan.
Selain itu, Mohd Amar turut meminta orang ramai memahami peranan kerajaan pusat dan negeri dalam isu melibatkan pembangunan.
"Hospital, sekolah, jalan raya dan yang lain adalah tugas kerajaan pusat. Bagaimanapun, semua itu sudah ada di Kelantan," katanya.