BANK Negara Malaysia (BNM) menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus.
Bank pusat berkata walaupun kedudukan kewangan dan monetari domestik kekal menyokong pertumbuhan ekonomi, namun terdapat beberapa tanda pengetatan kedudukan kewangan.
Bank pusat itu dalam kenyataannya hari ini berkata berikutan penurunan kadar siling dan lantai, koridor OPR masing-masing dikurangkan kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.
"Pelarasan ke atas OPR dilakukan bagi melindungi tahap akomodatif monetari.
"Ini konsisten dengan pendirian dasar monetari untuk menyokong laluan pertumbuhan yang mantap di tengah-tengah kestabilan harga. Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan terus mengawasi dan menilai baki risiko sekitar prospek pertumbuhan dan inflasi domestik," katanya.
Pasaran kewangan domestik kekal berdaya tahan, walaupun tempoh turun naik terutama disebabkan oleh perkembangan global, katanya.
BNM berkata ekonomi global terus berkembang dengan sederhana.
"Walaupun hasil pertumbuhan bagi beberapa ekonomi utama lebih baik daripada yang dijangkakan pada suku pertama, kedudukan asas ekonomi terus menunjukkan kesederhanaan," katanya.
Risiko penurunan yang ketara terhadap pertumbuhan global kekal, berpunca daripada ketegangan perdagangan yang belum selesai dan kedudukan berterusan di kebanyakan negara utama, selain aktiviti pelaburan dan perdagangan global yang lembap.
Walaupun pengetatan dalam kedudukan kewangan global telah merosot sedikit, ketidaktentuan dasar yang semakin meningkat boleh menyebabkan pelarasan pasaran kewangan yang besar dan seterusnya menjejaskan unjuran keseluruhan.
"Bagi Malaysia, perkembangan terkini menunjukkan aktiviti ekonomi menyederhana pada suku pertama 2019. Untuk masa depan, keadaan permintaan global yang perlahan dan pertumbuhan rakan dagangan utama yang lemah, akan terus menjejaskan sektor luar,” kata bank pusat itu.
Dalam negara, kedudukan pasaran buruh yang stabil dan pengembangan kapasiti dalam sektor utama akan terus memacu perbelanjaan isi rumah dan modal.
Unjuran dasar adalah untuk ekonomi Malaysia berkembang dalam lingkungan yang diunjurkan sebanyak 4.3 peratus kepada 4.8 peratus.
"Bagaimanapun, terdapat risiko penurunan terhadap pertumbuhan dari ketidaktentuan yang meningkat dalam persekitaran global dan domestik, ketegangan perdagangan dan kelemahan dalam sektor berkaitan komoditi yang berpanjangan," katanya.
Inflasi keseluruhan meningkat kepada 0.2 peratus pada Mac 2019 berbanding -0.4 peratus pada Februari, terutama inflasi pengangkutan pada -3.0 peratus (Februari: -6.8 peratus).
Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, kekal stabil pada 1.6 peratus pada Mac 2019.
Dalam jangka masa terdekat, inflasi dijangka kekal rendah disebabkan oleh langkah-langkah dasar. Ini termasuk harga siling bahan api runcit domestik sehingga pertengahan 2019 dan kesan perubahan dalam dasar cukai penggunaan terhadap inflasi utama.
Bagi keseluruhan 2019, inflasi utama secara puratanya dijangkakan stabil secara menyeluruh berbanding 2018.
"Trajektori inflasi utama akan terus bergantung kepada harga minyak dunia. Inflasi dasar dijangka kekal stabil, disokong oleh peningkatan aktiviti ekonomi yang berterusan dan ketiadaan tekanan permintaan yang kukuh," katanya. -Bernama