Kunjungan pemimpin luar isyarat jelas kestabilan politik negara

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Kehadiran beberapa pemimpin tertinggi negara luar yang dijadual berkunjung ke Malaysia minggu ini, merupakan satu isyarat jelas menunjukkan keyakinan mereka kepada kestabilan politik di negara ini, kata penganalisis politik, Prof Dr Azmi Hassan.

Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) itu berkata, ini kerana, tidak akan ada mana-mana negara berani hadir dengan potensi membawa masuk pelaburan atau menjalin kerjasama, jika melihat situasi politik di sesebuah negara itu dalam keadaan tidak stabil.

Iklan
Iklan

"Maknanya mereka yakin dengan kestabilan Kerajaan Perpaduan kita, sebab itu bila kita lihat atas kertas, kehadiran Presiden Filipina (Ferdinand Marcos Jr) esok, agenda utama mereka ialah ekonomi dan perdagangan.

"Mereka jadi yakin (melabur)... membawa peluang kerjasama pelaburan dua hala, seterusnya menguntungkan kedua-dua pihak, seperti untuk Malaysia pastinya meningkatkan aliran masuk FDI (pelaburan langsung asing) kita,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Iklan

Beliau pada masa sama yakin, kunjungan Marcos Jr akan dimanfaatkan Malaysia untuk membincangkan mengenai perihal geopolitik Asean, selain berkaitan tatakelakuan di perairan Laut China Selatan.

Azmi berkata, kunjungan Presiden Timor-Leste Dr José Ramos-Horta ke Malaysia yang dijadual pada hujung bulan ini pula, dilihat sebagai petunjuk bahawa negara luar amat memandang tinggi peranan dan pengaruh Malaysia dalam Asean.

Iklan

"Mereka (Timor-Leste) tahu kita ada pengaruh yang kuat di Asean, jadi saya kira antara agenda kehadiran mereka nanti, untuk dapatkan sokongan dan pengaruh Kuala Lumpur bagi membantu negara itu diterima menjadi anggota ke-11 Asean, kerana permohonan berkenaan akan dinilai tahun ini.

"Lawatan Hong Kong (Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) John Lee Ka-chiu) pula, saya lihat akan 100 peratus berkisar kepada agenda ekonomi terutama melibatkan pelancongan perubatan dan kesihatan tanpa membincangkan hal geopolitik,” katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Sivamurugan Pandian berkata, keyakinan yang diterjemah pemimpin luar untuk mengadakan kunjungan ke Malaysia, jelas berkait rapat dengan kewibawaan pimpinan tertinggi negara.

Beliau berkata, ia menunjukkan, betapa mereka memilih untuk berkunjung ke Malaysia bukan sahaja atas rasa yakin dengan kestabilan politik negara, malah mempunyai satu tahap penghormatan yang tinggi kepada pemimpin di peringkat Persekutuan.

"Ini satu petanda baik, selain memperkukuhkan hubungan dua hala antara negara-negara terlibat, malah ia juga membuka seluasnya jalinan kerjasama antara kementerian, agensi korporat dan perniagaan, seterusnya memperoleh pelbagai manfaat.

"Ini juga memudahkan segala urusan diplomasi kedua-dua negara, untuk kita melakukan satu rundingan konstruktif mengenai isu-isu berbangkit, menyelesaikannya dalam suasana menang-menang dan memperbaharui kerjasama bilateral dan multilateral, pascapandemik ini,” katanya. - Bernama