Tiga termasuk suami isteri maut nahas tiga kenderaan

Iklan
Tiga termasuk dua warga emas maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Kuantan-Segamat dekat Bandar Dua, Paloh Hinai, Pekan pada Isnin.

PEKAN - [DIKEMAS KINI] Tiga termasuk suami isteri maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 65, Jalan Kuantan -Segamat dekat Bandar Dua, Paloh Hinai di sini pada Isnin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 11.20 pagi itu melibatkan sebuah kereta Toyota Vios, Perodua Myvi dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, pemandu kereta jenis Toyota Vios, Ayub Zakaria, 66, dan isterinya, Podziah Daharun, 65, dari Bandar Putra, Segamat disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, seorang lagi mangsa yang maut ialah penumpang kereta Perodua Myvi, Muhammad Azrin Ahmad Nazri, 19.

Iklan

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Perodua Alza yang dinaiki tiga individu dalam perjalanan dari arah Segamat menghala ke Kuantan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

"Selepas itu Perodua Alza bertembung dengan Perodua Myvi dinaiki lima pekerja sebuah kedai alat perkakasan.

Iklan

"Pada masa sama, Toyota Vios yang datang dari arah Segamat gagal mengelak lalu melanggar Perodua Myvi itu

"Kemalangan mengakibatkan tiga maut iaitu pemandu, penumpang Toyota Vios yang juga suami isteri dan seorang penumpang Perodua Myvi," katanya.

Menurutnya, dalam nahas itu, penumpang Toyota Vios iaitu lelaki dan wanita warga emas berusia 62 dan 72 tahun cedera.

"Pemandu dan tiga penumpang Perodua Myvi berusia 20 hingga 24 tahun turut cedera selain dua mangsa dari kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza.

"Pemandu Alza yang belum dikenal pasti dipercayai selamat," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang maut dihantar ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat.

"Mangsa yang cedera dihantar ke unit kecemasan hospital sama untuk menerima rawatan," katanya.

Mohd Zaidi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.