DI SEBALIK lambakan konsert artis luar negara yang memenuhi kalendar seni hiburan tanah air, MAC Training Centre Sdn Bhd tampil dengan inisiatif berbeza apabila membawakan sebuah konsert nasyid.
Bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada jam 8.30 malam, 15 September depan, Konsert 5 Rukun menampilkan gandingan artis nasyid popular yang terdiri daripada Rabbani, Hijjaz, Inteam, Mestica dan Daqmie (Azmi Manap).
Penganjuran konsert tersebut merupakan inisiatif untuk membantu melonjakkan semula kegemilangan irama nasyid agar kembali bernafas semula sekali gus mencetuskan fenomena seperti mana pernah berlaku pada era 1990-an.
Pengarah Urusan MAC Training Centre Sdn Bhd, Samirah Hambali berkata, penganjuran konsert itu merupakan usaha kecil daripada pihaknya untuk berdakwah berlandaskan kesederhanaan dan hikmah dalam menyampaikan mesej Islam dalam bentuk hiburan lebih bijaksana.
"Berteraskan konsep lima Rukun Islam melalui teras persahabatan geng Sahabat Selamanya ini, kami percaya ia akan memberikan kesan dan pengalaman konsert unik dan menarik dalam hiburan dakwah, apatah lagi setiap mereka ini mempunyai kelompok peminat tersendiri.
"Sebagai satu cara untuk menjadikan Malaysia sebagai hub lagu-lagu nasyid dan Islamik, kita juga mewujudkan Kumpulan Komuniti Nasyid Warriors iaitu sebuah platform yang dikhususkan untuk mengumpul dan menghimpunkan individu yang berminat dengan nasyid atau genre muzik vokal Islam,” katanya.
Konsert 5 Rukun menampilkan lima segmen daripada barisan artis yang terlibat dengan pemilihan lagu popular masing-masing, sama ada dalam persembahan secara solo, duet serta nyanyian beramai-ramai beserta Qasidah.
Bagi menambahkan lagi nilai pengalaman unik dan luar biasa kepada penonton dari sudut aspek muzikal, persembahan berdurasi dua jam itu akan diiringi Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) di bawah pimpinan Pengarah Muzik, Yazit Zakaria.
Gabungan irama nasyid dan irama tradisional serta elemen budaya Malaysia yang lain itu dijangka bakal menyaksikan pertembungan unik muzik Islamik dan muzik tradisi Melayu yang selama ini menjadi cerminan jati diri masyarakat setempat.
Tiket Konsert 5 Rukun dijual pada harga RM265, RM213, RM161 dan RM109. Pembelian boleh dibuat menerusi laman web www.ticket2u.com.my