Felda bina lima pusat hemodialisis tahun ini

Iklan
Ahmad Shabery menyampaikan ucapan pada Program Kesejahteraan Komuniti Malaysia MADANI sempena Hari Peneroka Felda Wilayah Terengganu di Dewan Serbaguna Kerteh 05, pada Isnin. - Foto Bernama

DUNGUN - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan membina lima pusat hemodialisis di tanah rancangannya di lima negeri tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pembinaan itu dijangka menelan belanja RM2 juta bagi bangunan baharu dan RM1 juta untuk menaik taraf bangunan sedia ada melibatkan Felda Kertih 5, Terengganu; Felda Kelana Jaya, Selangor; Felda Wilayah Raja Alias, Negeri Sembilan; Felda Chiku 3, Kelantan dan Felda Wilayah Johor Bahru.

Iklan
Iklan

"Semua tapak kita dah kenal pasti. Kita tengok mana kelulusan yang lebih mudah dari segi sijil menduduki bangunan (CF) oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan semua aspek lain.

"Untuk pembinaan (pusat hemodialisis) baharu enam hingga lapan bulan dah boleh siap, tetapi kita akan cuba dapatkan bangunan yang sedia ada supaya lebih mudah, mungkin bangunan yang kurang kegunaan dan tempat yang strategik," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada program Kesejahteraan Komuniti Malaysia Madani Sempena Hari Peneroka Felda Wilayah Terengganu di Felda Kertih 5 di sini pada Isnin.

Ahmad Shabery berkata, setiap pusat akan dilengkapi enam mesin dialisis dan mampu menampung kira-kira 36 pesakit pada satu masa.

Iklan

"Pembinaan lima pusat ini adalah untuk fasa pertama. Fasa kedua kita akan diteruskan dengan tujuh lagi pusat hemodialisis di Felda negeri lain," katanya.

Pada sambutan Hari Peneroka Felda 2023 di Taman Ekspo Pertanian (MAEPS) Serdang, Selangor, 7 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM21 juta bagi pembinaan 12 pusat hemodialisis di seluruh wilayah Felda. - Bernama