KPDN terima 5,025 Aduan Suri setakat Jun - Fuziah

Iklan
Fuziah Salleh

KOTA BHARU - Sebanyak 7,027 aduan kepenggunaan diterima di seluruh negara, termasuk 5,025 aduan menerusi platform Aduan Suri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi tempoh 12 Januari hingga 30 Jun lepas.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, aduan tertinggi menerusi platform Aduan Suri adalah berkaitan transaksi dalam talian sebanyak 2,003, diikuti aduan berkaitan harga (1,903) dan perkhidmatan mengelirukan (1,119).

Iklan
Iklan

"Di Kelantan sahaja jumlah aduan yang direkodkan adalah sebanyak 732 aduan termasuk 236 melalui Aduan Suri.

"Aduan tertinggi melalui Aduan Suri di Kelantan adalah berkaitan transaksi dalam talian sebanyak 100, aduan berkaitan harga (48), barang kawalan (24) dan lain-lain (64),” katanya pada Majlis Perasmian Aduan Suri Peringkat Daerah Kota Bharu dan Pertandingan Lagu Rakyat Dikir Barat Kepenggunaan, di sini pada Isnin.

Iklan

Teks ucapan Fuziah telah dibacakan oleh Timbalan Pengarah KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar.

Fuziah berkata, dengan adanya program Aduan Suri, suri rumah dapat memainkan peranan sebagai mata dan telinga selain menjadi rakan strategik KPDN dalam memberikan maklumat sahih daripada lapangan di seluruh negara.

Iklan

"Pengguna dan semua pihak termasuk golongan suri rumah yang prihatin boleh melaporkan sebarang ketidakpatuhan peniaga kepada KPDN melalui pelbagai saluran seperti QR Code Aduan Suri dan WhatsApp ke 019-279 4317 / 019-848 8000;

"Aduan Suri merupakan satu inisiatif baharu kementerian dalam memudahkan pengguna terutamanya golongan suri rumah dalam membuat aduan kepenggunaan melalui QR Code aplikasi WhatsApp,” katanya.

Beliau berkata, melalui mekanisme ini, pengadu hanya perlu mengimbas QR Code dan ia terus disalurkan ke aplikasi WhatsApp aduan KPDN.

"Hasrat kementerian agar pengguna dapat memanfaatkan semua saluran aduan yang disediakan serta dapat membantu kerajaan dalam membanteras salah laku peniaga atau sebarang pelanggaran terhadap undang-undang di bawah seliaan KPDN,” katanya. - Bernama