Visi Penang2030 janjikan kemakmuran

Iklan

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, Pakatan Harapan (PH) sekali lagi diberi mandat untuk terus mentadbir Pulau Pinang yang mana, tanggungjawab untuk memimpin negeri ini telah diberikan kepada Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

Iklan
Iklan

Kon Yeow yang sebelum ini merupakan Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir telah tampil dengan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara iaitu digagaskan sebagai satu wawasan pembangunan yang terdiri daripada empat tema utama melibatkan semua rakyat Pulau Pinang.

Menjelang pilihan raya negeri (PRN), Sinar Harian diberi peluang untuk menemubual Kon Yeow secara eksklusif bagi mengulas mengenai beberapa isu berhubung pentadbirannya selama lima tahun sebagai Ketua Menteri.

Iklan

Ikuti temubual Wartawan Sinar Harian, Syajaratulhuda Mohamad Rosli bersama Kon Yeow di Pejabat Ketua Menteri, Komtar baru-baru ini.

Sinar Harian: Dalam tempoh lima tahun Yang Amat Berhormat (YAB) mentadbir Kerajaan Pulau Pinang, apa yang boleh YAB katakan berdasarkan penerimaan masyarakat berbilang kaum, keperluan setempat dan kebajikan rakyat Pulau Pinang, pelaburan dan ekonomi serta kestabilan politik?

Iklan

KON YEOW: Mengikut tinjauan pendapat yang kita jalankan, purata peratusan (sokongan rakyat) adalah kira-kira antara 70 hingga 72 peratus. Ini merangkumi prestasi kerajaan, pengurusan ekonomi, kepimpinan Ketua Menteri dan lain-lain yang berkaitan. Paras sokongan ini kira tinggi, tetapi jika mengikut pecahan kaum, ia berbeza. Dalam statistik data kita lihat dengan lebih mendalam, jika ikut pecahan kaum, ada perbezaan yang tidak begitu ketara iaitu Cina lebih 90 peratus, orang India dekat 90 peratus, mungkin 87 peratus (lebih kurang) manakala masyarakat Melayu, dalam lingkungan lebih 70 peratus. Peratusan ini menunjukkan penerimaan rakyat terhadap kerajaan negeri, saya berpuas hati kita masih kekal sebagai negeri yang harmoni, tak ada insiden yang merungsingkan, sikit-sikit aduan itu, adalah.

Bagi keperluan setempat dan kebajikan rakyat, Pulau Pinang adalah negeri yang mula memberi pelbagai sumbangan dan bantuan iaitu sejak 2008, program-program kebajikan yang dilaksanakan adalah berjumlah RM417.7 juta di bawah bantuan I-Sejahtera antaranya sumbangan untuk warga emas, ibu tunggal, suri rumah, bayi, orang kurang upaya, miskin tegar, pemandu teksi dan bas.

Dari segi pelaburan, Pulau Pinang masih dikedudukan pertama dalam laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mengikut negeri bagi tahun 2022 dengan 13.1 peratus. 15 tahun kita mencapai lebih RM200 bilion dan mewujudkan 222,000 peluang pekerjaan.

Lima tahun, satu perjalanan yang panjang bagi YAB mentadbir sebuah kerajaan mengikut arus kerajaan Pusat yang berbeza-beza. Bagaimana YAB menggerakkan pentadbiran negeri ini?

KON YEOW: Dalam tempoh lima tahun ini, kita telah berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuklah pandemik Covid-19 yang menuntut perhatian penuh dalam menangani keperluan kritikal penduduk melalui jalinan kerjasama dengan agensiagesi kerajaan negeri dan kerajaan Pusat serta menyebar luas maklumat yang tepat berhubung pengurusan pandemik di negeri ini. Secara peribadi, saya merasakan ia diibaratkan sebagai cabaran getir buat seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang dalam memastikan proses pemulihan dapat dilaksanakan dengan lancar. Susulan itu, kita telah menubuhkan Penang Socio Economic Recovery Consultative Council (PSERCC) yang bertindak untuk mengenal pasti masalah serta cabaran yang dihadapi baik dari segi pelancongan, ekonomi, infrastruktur, digitalisasi dan juga pekerjaan.

Boleh YAB huraikan secara ringkas apa yang telah YAB laksanakan sepanjang tempoh lima tahun sebagai Ketua Menteri?

Kon Yeow yang sentiasa dilihat mendekati hati rakyatnya berjanji akan memastikan kehidupan rakyat Pulau Pinang dalam keadaan baik dan harmoni.

KON YEOW: Syukur kerana kita mampu bangkit semula dan proses pemulihan pasca pandemik juga berjaya memulihkan pelbagai sektor terjejas. Melalui Visi Penang2030, hasil usaha dan titik peluh serta komitmen bersama, sebanyak 47 peratus daripada jumlah keseluruhan strategik inisiatif Visi Penang2030 yang mana sebanyak 210 projek dan program telah dijalankan atau dalam pelaksanaan.

Boleh YAB gambarkan perasaan apabila dinamakan sebagai calon Ketua Menteri Pulau Pinang untuk penggal kedua pada pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung bulan depan, sekali gus menghentikan spekulasi YAB akan digugurkan sebagai Ketua Menteri?

KON YEOW: Terima kasih kepada parti kerana telah membuat keputusan ini susulan daripada pelbagai desasdesus. Keputusan yang lebih awal ini dapat menghentikan segala spekulasi tentang isu ini. Maka dengan terhentinya spekulasi, seluruh jentera dapat menumpukan kerja dalam PRN yang akan datang. Saya berasa tenang walaupun banyak desasdesus di lapangan dalam satu dua minggu ini, namun akhirnya parti telah membuat keputusan dan saya terharu dengan keputusan itu. Bagi saya ini satu pengiktirafan kepada saya dan kerajaan negeri yang saya pimpin.

Apa langkah yang disusun oleh YAB atau harapan selepas ini setelah disahkan sebagai calon Ketua Menteri untuk PRN ini?

KON YEOW: Saya berharap dapat memimpin PH dan gabungan dengan BN untuk meyakinkan rakyat jelata bahawa kita adalah kerajaan negeri yang prorakyat, perpaduan, pembangunan, kesejahteraan dan kebajikan rakyat. Selain itu, jentera pilihan raya juga boleh mula menggembleng serta menyatupadukan tenaga untuk menghadapi pilihan raya dan bukannya dilemahkan keazaman, semangat perjuangan dengan ketidaktentuan yang terhasil kerana desas-desus sedemikian. Saya mohon semua jentera parti bersatu padu menerima keputusan pimpinan parti yang turut disokong Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ini merupakan satu mesej yang amat jelas bahawa apa yang berlaku pun sekarang, jentera PRN dipimpin oleh saya selaku Pengerusi PH Pulau Pinang.

Mengenai PRN, bagaimana pula dengan rancangan YAB dalam merealisasikan Visi Penang2030 selepas ini?

KON YEOW: Dalam menjayakan pencapaian Visi Penang2030, kita sentiasa menjalin kerjasama yang baik dengan badan-badan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sektor swasta secara menyeluruh. Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha serta komitmen untuk merealisasikan Visi Penang2030 dalam tempoh yang berbaki tujuh tahun ini. Saya amat yakin barisan kepimpinan kerajaan negeri mampu melakukannya seperti yang telah dibuktikan dalam cabaran menempuh pandemik Covid-19 sebelum ini hasil daripada sokongan semua pihak.

Dalam tempoh lima tahun memperjuangkan pentadbiran berintegriti, kebajikan rakyat, kelengkapan infrastruktur, pembentukan sebuah rantaian ekosistem, kini kita sedang menerajui teknologi pendigitalan, inisiatif bandar pintar berlandaskan pembangunan modal insan ke arah menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang terus gemilang serta terbilang. Saya yakin kita mampu melakukannya demi negeri yang dicintai ini, keharmonian serta kemakmuran yang terjalin kini bakal menjadi medan kepada anak cucu kita untuk terus membawa Pulau Pinang ke persada antarabangsa dan kemegahan dunia.