Pemberian autonomi kepada Pengetua Tingkatan Enam perlu ada garis panduan

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Ahad.

KUALA LUMPUR - Pemberian kuasa autonomi kepada Pengetua Pusat Tingkatan Enam untuk menjalankan proses pengambilan pelajar dicadang disertakan bersama garis panduan supaya tiada calon yang layak tercicir dan dipinggirkan.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan, cadangan mewujudkan garis panduan itu agar pemilihan pelajar adalah seimbang dan memastikan pelajar daripada kelompok B40 dan M40 mendapat tempat sewajarnya untuk meneruskan pengajian.

Iklan
Iklan

"Di samping itu, pelaksanaan pengambilan pelajar disaran mengikut tempoh sewajarnya dan tiada kompromi tentang disiplin atau pun salah laku, sebagai contoh gejala buli,” katanya kepada Bernama, pada Isnin.

Semalam, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengumumkan pemberian kuasa autonomi berkenaan berkuat kuasa serta-merta antara lain bagi membolehkan pengetua membuat tawaran terus kepada pelajar berpotensi tanpa perlu menunggu tawaran daripada KPM seperti tahun sebelumnya.

Iklan

Mohamad Ali juga berpendapat sebaiknya satu Jawatankuasa Pemilihan Pelajar dipengerusikan pengetua serta anggota-anggota lain khususnya wakil PIBG dan AlmaMater diwujudkan bagi membantu proses pemilihan pelajar.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad menyifatkan pemberian autonomi itu sebagai langkah baik dan mampu mempercepatkan proses peralihan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Iklan

Menurutnya, keputusan berkenaan juga akan memberi satu impak positif kerana pihak pentadbiran sekolah akan lebih bermotivasi dan bertanggungjawab untuk mendapatkan bilangan pelajar yang lebih ramai.

"Kita akan lihat pengetua-pengetua sekolah tingkatan enam ini bersama pentadbiran sekolah pastinya akan secara lebih agresif melakukan promosi dan memberi penjelasan kepada lepasan SPM yang berminat ke tingkatan enam,” katanya.

Anuar turut mencadangkan supaya pemilihan pelajar tingkatan enam dipelbagaikan dan seimbang mengikut aliran yang ditawarkan.

"Kita mengharapkan kolej prauniversiti bukan sahaja aliran sains dan sastera sahaja tetapi diperkembangkan kepada aliran-aliran yang lain yang sesuai dengan kecenderungan dan kebolehan serta kelayakan pelajar lepasan SPM ini,” katanya. - Bernama