PUTRAJAYA - Tiada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam aspek pengendalian mahupun penyelenggaraan dikesan, berhubung insiden kemalangan helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang berlaku di kawasan apron UniKL MIAT Hangar, Subang, Selangor pada Sabtu lepas.
Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Ahmad Izram Osman berkata, ketika kejadian kira-kira 11.40 pagi itu, helikopter model Agusta AW189 milik JBPM itu dalam proses penyelenggaraan, dengan menjalani ujian enjin dan sistem pesawat.
Ahmad Izram berkata, ketika proses penyelenggaraan berkenaan, jurutera telah membuka motor kipas pesawat yang sudah lima tahun beroperasi untuk kerja-kerja logistik, dan memasangnya kembali sebelum membuat ujian hovering.
"Apabila pesawat keluar daripada hangar, keadaan pesawat tidak seimbang dan melihat kepada kesan tayar pesawat, kita mendapati kejadian itu berlaku sebelum proses hovering.
"Selalunya proses hovering ini dilakukan pada paras tujuh meter dan ada peringkat ketinggian lagi...tetapi helikopter tidak sempat melakukan proses tersebut, apabila tayar tidak seimbang dan kipas helikopter patah akibat terkena lantai di kawasan hangar,” katanya kepada Bernama di sini pada Isnin.
Ahmad Izram berkata, ketika kejadian, tiga anggota JBPM dan empat krew selenggaraan berada dalam pesawat dan kesemua mereka menggunakan tali pinggang keselamatan.
Pesawat itu dikendalikan oleh anak kapal JBPM iaitu Timbalan Penguasa Bomba II Hasrizal Kamaruzzaman (komander pesawat) dibantu Penolong Kanan Penguasa Bomba Che Muhammad Azlan Che Mohammad (juruterbang) dan seorang Kuartermaster Udara Pegawai Bomba Kanan I Fua’ad Jamaluddin.
Selain itu, empat krew selenggaraan daripada Syarikat Galaxy Aerospace Sdn Bhd turut berada di dalam pesawat iaitu Muhammad Mohd Taib (ketua jurutera), Ahmad Zhafri Mohd Nor (jurutera avionik), Mohammad Zhafir Mohammad (pelatih) dan Ryan Xavier Julius (pelatih).
Ahmad Izram berkata, tiga anggota tersebut setakat ini masih direhatkan daripada bertugas bagi menjalani rawatan susulan dan anak kapal serta krew senggaraan dilaporkan tidak mengalami kecederaan parah.
Dalam kejadian jam 11.40 pagi itu, sebuah helikopter milik JBPM sedang menjalani proses penyelenggaraan berkala yang ditetapkan oleh pihak pengeluar, terbabit dalam kemalangan.
JBPM dalam kenyataan semalam memaklumkan, pihaknya menjalankan siasatan dalaman dan akan mengambil tindakan susulan, selaras dengan dapatan dan arahan serta prosedur semasa yang berkuat kuasa. - Bernama