LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak telah melakukan pemeriksaan terhadap sebuah bot pukat tunda yang tular di media sosial dipercayai melanggar peraturan dengan melakukan aktiviti perikanan tarik tepi di sebuah jeti di Teluk Rubiah, Manjung pada Isnin.
Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya'akup berkata, aduan diterima sekitar jam 1.30 pagi dan sebuah bot peronda telah diatur gerakkan ke lokasi kejadian.
"Pasukan telah bertemu dengan pengadu pada jam 2.20 pagi dan memaklumkan bot tersebut telah beredar dan merapat di jeti nelayan Pulau Pangkor.
"Pemeriksaan terus dilakukan ke atas bot tersebut dan mendapati tekong bersama awak-awak telah tiada. Bot peronda seterusnya meneruskan rondaan ke sektor operasi Maritim negeri," katanya kepada Sinar Harian di sini.
Menurut beliau, pengadu diminta untuk membuat laporan polis bagi membolehkan pihaknya membuka kertas siasatan berhubung dakwaan itu.
"Kami juga memerlukan bukti video yang dirakam termasuk merakam percakapan saksi bagi melengkapkan siasatan di bawah Akta Perikanan 1985.
"Komuniti Maritim diminta agar terus berkongsi maklumat jika terlihat sebarang pelanggaran undang-undang di kawasan tertentu dan memahami proses yang dilaksanakan," katanya.
Tambahnya, sebarang aduan dan kecemasan boleh menghubungi MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Negeri di talian 05-6838737 untuk maklum balas segera.
Sebelum itu, tular di media sosial memaparkan beberapa video sebuah bot pukat tunda kelas B melakukan aktiviti perikanan di pesisir pantai Teluk Batik - Teluk Rubiah, Manjung.
Kegiatan mereka bagaimanapun berjaya dikesan nelayan lain dan bertindak mengejar bot terbabit serta melaporkan kepada pihak Maritim Malaysia.