SHAH ALAM - Usaha kerajaan menutup ketirisan perolehan berjaya membuahkan hasil kerana negara merekodkan lebihan-lebihan pendapatan berbanding tahun lalu hingga dapat terus menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, malahan kerajaan turut menambah jumlah peruntukan dan jumlah penerima bantuan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan eBelia Rahmah.
"Mungkin saudara-saudara bertanya mana dapat duit? Jadi apabila Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menyebut supaya tatakelola ditingkatkan dan ketirisan dikurangkan, maka duit kita insya-ALLAH ada.
"Kalau RM388.1 juta (menjadi) satu angka terbesar negara bagi belanjawan 2023, saya yakin Belanjawan 2034 (yang dijadual dibentang) pada 13 Oktober tak lama lagi mungkin lagi tinggi daripada jumlah itu," katanya pada program SinarLive bertajuk 'STR: Membantu atau membantut?' yang dihoskan Haizir Othman dan diadakan di Studio F, Kumpulan Karangkraf, di sini, pada Isnin.
Ahli Parlimen Pontian itu menjelaskan, bantuan lain yang turut disalurkan kepada kerajaan antaranya adalah Bantuan Khas Pesawah kepada 300,000 pesawah yang menerima RM200 sebulan dalam tempoh tiga bulan semusim yang keseluruhannya menelan belanja RM228 juta.
"Satu lagi kerajaan naikkan insentif pengeluaran getah daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram sebagai harga lantai getah yang membabitkan peruntukan RM350 juta.
"Kemudian bantuan musim tengkujuh kepada penoreh getah untuk tahun 2023 ini kita naikkan daripada RM600 kepada RM800 yang melibatkan (peruntukan) RM256 juta. Selain itu, bantuan untuk nelayan dan bantuan lain juga kita diteruskan," ujarnya.
Sementara itu, ketika ditemui Sinar Harian selepas berakhir program, Ahmad Maslan berkata, lebihan pendapatan yang dicatatkan itu juga hasil usaha kerajaan meningkatkan kecekapan kutipan hasil yang menutup ketirisan dan langkah menambah pendapatan dengan langkah rasionalisasi subsidi.
"Apabila kita ketatkan penguatkuasaan untuk mengelakkan ketirisan contohnya bagi rokok, minuman keras dan kenderaan, ia menyebabkan mereka yang sebelum ini tidak membayar cukai akhirnya sudah mula bayar cukai.
"Jadi dengan penutupan ketirisan ini, hasil kutipan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini meningkat sebanyak RM1 bilion berbanding tempoh sama tahun lepas,'' tambahnya.
Kata beliau, usaha kerajaan mengadakan rasionalisasi subsidi elektrik membolehkan negara mendapat beberapa bilion penjimatan.
Ditanya tentang kaedah untuk menyekat ketirisan daripada berlaku, Ahmad Maslan menegaskan, strategi yang digunakan adalah berdasarkan apa yang disebut Perdana Menteri iaitu dari segi dasar kerajaan memperkasa tatakelola pentadbiran dan antirasuah.
"Pendekatan itu terbukti semakin mendatangkan hasil dan ia juga menjadi perkara yang kita tekankan dalam latihan (kepada penjawat awam).
"Sebagai contoh kita adakan seminar-seminar mengenai isu kemampanan alam sekitar, sosial dan tatakelola (ESG) dan baru-baru ini Kementerian Kewangan panggil lebih 100 Syarikat Milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) atau MKD yang turut dihadiri ahli-ahli lembaga pengarah.
"Permintaan saya adalah supaya dikuatkan tatakelola MKD dan badan berkanun supaya apabila tatakelola kuat maka syarikat-syarikat itu ada keuntungan dan boleh membayar dividen kepada kerajaan. Jadi RM50.7 bilion dividen tahun lepas boleh ditingkatkan lagi tahun ini," katanya.