KUALA LUMPUR - Program matrikulasi Kementerian Pendidikan KPM) bukannya laluan pintu belakang sebaliknya laluan alternatif kepada pelajar Melayu untuk memasuki universiti.
Pengerusi Keilmuan Nasional, Zambri Mohd Isa berkata, program matrikulasi adalah satu dasar dan usaha untuk memberi dan mewujudkan keadilan sosial selain usaha pendemokrasian pendidikan.
Menurutnya, antara faktor penubuhan program itu adalah kerana tempat untuk mengambil Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) amat terhad bilangannya dan kebanyakan sekolah menyediakan STPM tidak mempunyai kemudahan asrama atau tempat tinggal.
"Seperti yang kita sedia maklum, majoriti pelajar Melayu adalah terdiri daripada golongan pelajar miskin yang memerlukan bantuan dan sokongan seperti kemudahan asrama dan bantuan khas kepada mereka.
"Atas faktor tersebut mereka memasuki program matrikulasi untuk memberikan peluang mereka menyambung pelajaran sebelum melangkah ke universiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Zambri, beliau berpendapat kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa program matrikulasi adalah laluan pintu belakang kepada pelajar Melayu adalah tidak tepat.
"Keilmuan Nasional juga berpandangan adalah tidak wajar menganggap pelajar yang memasuki ke program matrikulasi tidak mempunyai kelayakan akademik yang baik.
"Ini kerana rata-rata pelajar Melayu tersebut memang mendapat keputusan yang cemerlang dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM),” ujarnya.
Bulan lepas, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata bilangan kemasukan pelajar ke program matrikulasi KPM ditambah kepada 40,000 tempat, berbanding 25,000 sebelum ini.
Katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) melihat keperluan untuk menambah bilangan pelajar dalam bidang sains dan kapasiti yang terdapat pada program matrikulasi wajar dimaksimumkan bagi tujuan tersebut.
"Keputusan ini juga dilihat sebagai kaedah terbaik dalam memastikan program matrikulasi dapat memberikan peluang pendidikan kepada semua kaum.
"KPM juga akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan dalam masa terdekat berhubung kos terlibat berikutan keputusan pertambahan jumlah pelajar," katanya.
Semalam, Dr Mahathir berkata sistem matrikulasi memang diwujudkan untuk menjadi pintu belakang buat orang Melayu memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Bercakap dalam wawancara khas bersama media di Putrajaya semalam, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata situasi tersebut berlaku kerana ramai pelajar Melayu tidak mahu mengambil STPM untuk ke IPTA.