Peguam Wan Nurliyana Abdul Rahman, yang mewakili Amelia, 28, atau nama penuhnya, Amelia Thripura Henderson, berkata rayuan itu akan didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Leong Wai Hong.
"Pendengaran itu akan berlangsung melalui sidang video, pada 9 pagi," kata peguam itu ketika dihubungi Bernama selepas pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Rozana Husin pada Isnin.
Peguam Ashmadi Othman, yang mewakili A. Aida atau nama sebenarnya Datuk Zaidah Awang, mengesahkan tarikh pendengaran itu.
Pada 7 April lepas, Mahkamah Sesyen memerintahkan Amelia membayar ganti rugi kepada A. Aida menerusi syarikatnya, A. Aida Production Sdn Bhd selepas membenarkan tuntutan saman syarikat itu terhadap pelakon itu kerana melanggar kontrak penggambaran drama berjudul `Sekali Lagi Cinta Kembali’.
Hakim itu turut membenarkan permohonan A. Aida untuk mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang Amelia daripada menerbitkan kenyataan fitnah sama terhadapnya selain pelakon itu perlu memohon maaf kepada plaintif di akaun Instagramnya @ameliath dan memadam video mengandungi kenyataan fitnah dalam tempoh tujuh hari bermula 7 April lalu.
Pada 28 Julai 2022, A. Aida Production menyaman Amelia berhubung pelanggaran kontrak drama berkenaan apabila pelakon wanita itu menarik diri di saat akhir daripada penggambaran drama tersebut.
Menurut pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa Amelia telah menerima bayaran pertama sebanyak RM3,920 selepas menandatangani perjanjian kontrak serta bersetuju memberikan sepenuh komitmen bagi menjayakan drama tersebut.
Bagaimanapun, plaintif mendakwa Amelia membuat keputusan untuk menarik diri walaupun terdapat rundingan antara kedua-dua pihak sebelum notis penamatan kontrak diberikan kepada pelakon berdarah kacukan India-Scotland itu. - Bernama.