JOHOR BAHRU - Polis memastikan siasatan terhadap pengikut dan pihak yang memuat naik video menyebarkan ajaran sesat SiHulk di media sosial terus dijalankan sehingga dihadapkan ke mahkamah walaupun individu terbabit kini berada di luar negara.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, perbuatan mereka tidak boleh diterima sama sekali selain memastikan tiada lagi yang terpengaruh dengan ajaran sesat itu.
Beliau memberitahu, terdapat beberapa laporan polis dibuat di negeri ini dan perbuatan memuat naik video berkenaan disifatkan sebagai mencabar pihak berkuasa.
"Memang ada laporan polis. Polis akan bekerjasama dengan JAINJ (Jabatan Agama Islam Negeri Johor) bagi memastikan mereka ini diambil tindakan.
"Kita dimaklumkan mereka berada di luar negara. Pengikut ini mencabar pihak berkuasa dan mencabar negara kita kerana agama Islam agama rasmi kita," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Isnin.
Sebelum ini beberapa video pengakuan pengikut ajaran sesat tersebut kian aktif memuat naik pengakuan mereka yang terpesong dengan mengakui Nabi Muhammad sebagai ALLAH.
Pada Khamis, Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid meminta umat Islam di Malaysia menjauhi laman sosial serta tidak mengikuti video menyebarkan ajaran sesat SiHulk yang dipercayai dirakam dan dimuat naik ke dalam media sosial dari luar negara.
Mohd Fared menjelaskan, Fatwa Johor diwartakan bertarikh 22 Julai 2021 telah menetapkan SiHulk adalah ajaran sesat, menyeleweng dan bertentangan akidah, syariat serta akhlak Islam.
Katanya, ajaran sesat diasaskan oleh Suhaini Muhammad yang dipercayai berada di New Zealand itu membuat pelbagai dakwaan menyeleweng, termasuk ALLAH adalah Nabi Muhammad.
Bagaimanapun, beliau berkata, pengikut SiHulk dipercayai membuat rakaman dan memuat naik video ajaran sesat itu ke dalam media sosial dari luar negara, sekali gus menyukarkan JAINJ membuat tangkapan dan penguatkuasaan lanjut terhadap mereka.
Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, dakwaan ajaran tersebut adalah jelas songsang dan tidak boleh diterima sama sekali selain mengundang kemarahan umat Islam.
"Walau bagaimanapun kita masih meneruskan siasatan berhubung kumpulan ini. Kita ada undang-undang dan pastikan siasatan diteruskan (sehingga) mereka dapat dihadapkan ke mahkamah," tegasnya.
Beliau berkata, pihaknya tidak mahu orang lain terutama anak muda terpengaruh dengan ajaran tersebut.
"Keluarga perlu ambil berat. Jelas terpesong. Saya nasihatkan berhati-hati, ibu bapa anak yang selalu suka lihat video seperti ini, pastikan supaya kita tidak terpesong akidah," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Ajaran Si Hulk difatwakan sesat
Pengikut ajaran Si Hulk bersembunyi di luar negara
Mufti gesa siasat segera individu terlibat ajaran Si Hulk
Remaja antara saki-baki kumpulan ajaran sesat 'Si Hulk'