ALOR GAJAH - Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya, di Ayer Molek, Melaka Tengah, pada pagi Isnin.
Ibu mangsa yang hanya mahu dikenali Zaidah, 35, berkata, dia menghantar anaknya itu kira-kira jam 7.30 pagi ke rumah pengasuh tersebut yang terletak tidak jauh dari rumahnya di Taman Desa Ayer Molek.
Bagaimanapun menurutnya, ketika sedang bekerja di Sungai Udang, dia kemudian dihubungi pengasuh yang memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri.
"Kira-kira jam 11 pagi, pengasuh hubungi saya dan maklumkan kejadian itu.
"Disebabkan saya masih di Sungai Udang ketika itu, manakala suami juga bekerja jadi saya minta pengasuh segera bawa bayi ke Klinik Kesihatan Ayer Molek untuk dapatkan rawatan," katanya ketika ditemui pemberita di rumah keluarganya di Kampung Titian Bintangor, Lubok Cina di sini malam Isnin.
Ujarnya, pihak Hospital Melaka kemudian mengesahkan bayinya yang dijaga pengasuh berkenaan sejak berusia empat bulan telah meninggal dunia.
"Setakat ini pihak hospital masih belum mengesahkan punca kematian dan perlu menunggu laporan lengkap hasil bedah siasat," katanya yang masih bersedih dengan kejadian itu.
Sementara itu, bapa mangsa yang enggan dikenali tidak dapat mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan polis.
"Kami reda, biarlah polis jalankan siasatan dahulu kerana tak mahu menyalahkan mana-mana pihak," katanya.
Jenazah bayi itu kemudian dibawa pulang ke kampung bapanya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Titian Bintangor kira-kira jam 10.30 malam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Kita masih menunggu laporan penuh bedah siasat," katanya.