KUALA LUMPUR - Sebuah pusat hiburan di Bukit Bintang di sini, yang menawarkan bilik karaoke 'kelas A' bernilai RM25,000 berserta layanan gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing dan tempatan digempur pada Ahad.
Serbuan kira-kira jam 1.10 pagi itu dijalankan sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, serbuan berjaya menahan 84 wanita warga asing berusia lingkungan 18 hingga 46 tahun disyaki GRO.
Menurutnya, turut ditahan sembilan warga tempatan berperanan sebagai pengurus premis, penjaga kaunter dan pekerja pusat hiburan terbabit.
"Pemeriksaan juga dilakukan terhadap 22 GRO tempatan, 46 pekerja dan 336 pelanggan.
"Saringan awal ujian air kencing mendapati enam pelanggan positif dadah jenis syabu dan ketamin," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, polis turut merampas pelbagai barang antaranya resit jualan, resit pekerja GRO, minuman keras, perakam video, telefon bimbit selain wang tunai berjumlah RM13,862.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, premis berkonsepkan pusat hiburan KTV itu menyediakan 17 bilik karaoke mengikut pakej bayaran bermula RM3,800 hingga RM25,000.
Katanya, premis yang beroperasi bermula jam 8 malam hingga 6 pagi itu turut menyediakan GRO warga asing dan tempatan atas permintaan pelanggan dengan kadar bayaran yang ditetapkan.
"Pemeriksaan mendapati premis tidak mempunyai lesen pusat hiburan sah serta menyalahgunakan lesen restoran dan kedai makan yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur," katanya.
Ujarnya, kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut.
Jelasnya, tindakan tegas akan diambil sekiranya dikesan pengusaha pusat hiburan menjalankan aktiviti terlarang seperti menggajikan GRO, persundalan dan penggunaan dadah di dalam premis.