BORUSSIA Dortmund mengesahkan pemain tengah Austria, Marcel Sabitzer telah menyertai naib juara Bundesliga itu dengan kontrak empat tahun daripada Bayern Munich, kata kelab tersebut.
Kelab-kelab itu tidak mendedahkan butiran kewangan, tetapi media Jerman melaporkan bahawa pemain berusia 29 tahun itu menandatangani kontrak dengan Dortmund dalam perjanjian bernilai 19 juta euro.
Sabitzer, yang mempunyai 71 caps antarabangsa dan merupakan naib kapten Austria, menyertai Bayern dari RB Leipzig pada 2021 sebelum dipinjamkan ke kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester United pada Februari.
"Saya tidak sabar akhirnya menyertai pasukan dan memakai jersi BVB. Perbincangan dengan pengurus Dortmund berlangsung baik apabila kelab bercita-cita tinggi pada masa depan.
"Saya ingin melakukan bahagian saya untuk memastikan BVB mencapai matlamatnya dan ia adalah sebab untuk raikan sesuatu yang istimewa dengan peminat sekali lagi secepat mungkin," kata Sabitzer dalam satu kenyataan.
Sabitzer menjaringkan gol dan membantu dua kali dalam 54 penampilan di Bayern, manakala di United, dia menjaringkan tiga gol dan mencatat satu bantuan gol dalam 18 perlawanan.
"Marcel adalah pemain berpengalaman yang telah bermain di peringkat antarabangsa teratas selama bertahun-tahun. Dia sesuai dengan profil yang kami cari selama ini.
"Marcel kuat dari segi fizikal dan juga banyak menghadirkan ancaman gol. Kami yakin bahawa personalitinya juga akan menjadi tonggak penting pasukan dan dia akan membantu kami menjadi lebih berkesan dalam perlawanan yang sengit," kata Pengarah Sukan Dortmund, Sebastian Kehl.
Bayern memperoleh kejuaraan Bundesliga ke-11 berturut-turut secara dramatik pada perlawanan terakhir liga pada Mei, merampas trofi daripada Dortmund, yang memburu kejuaraan liga utama Jerman pertama mereka dalam tempoh 11 tahun.