Remaja Orang Asli terkena renjatan elektrik diterbangkan ke hospital

Iklan
Unit Udara JBPM melakukan penerbangan Medevac membawa remaja Orang Asli dari Kampung Pinchong, Pos Gob ke Hospital Gua Musang pada Isnin. - Foto ihsan Bahagian Udara JBPM

GUA MUSANG - Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) melakukan penerbangan pemindahan perubatan (Medevac), bagi membantu seorang remaja lelaki Orang Asli dari Kampung Pinchong, Pos Gob, untuk mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang selepas terkena renjatan elektrik akibat panahan kilat, semalam.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor Mohd Hasrizal Kamaruzzaman berkata, pesakit Mazlan Roslan, 18, dibawa menaiki pesawat jenis Agusta Westland (AW139) bersama seorang pengiring, pada jam 5.38 petang.

Iklan
Iklan

"Pesakit menjadi kerap pengsan dan tidak sedarkan diri semenjak dua hari lalu, selepas terkena renjatan elektrik akibat kilat ketika mendengar lagu di telefon bimbit, sambil menggunakan fon telinga.

"Pesakit perlu diusung meskipun berada dalam keadaan sedar, berikutan dirinya yang tidak mampu berdiri,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohd Hasrizal berkata, pesawat tiba di Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada jam 5.55 petang, sebelum dibawa menaiki ambulans ke hospital.

"Kedudukan khemah dan bangunan berhampiran lapangan di Kampung Pinchong menyukarkan pendaratan. Keseluruhan jam penerbangan berdurasi selama tiga jam enam minit, dengan keadaan hujan lebat di sekitar Raub, Pahang,” katanya. - Bernama

Iklan