KOTA BHARU - Calon Barisan Nasional (BN) Ahmad Deraman sedia menentang Tan Sri Annuar Musa sekiranya Pas meletakkan tokoh itu bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Ahmad berkata, hal ini kerana beliau sudah lama berkhidmat di belakang tabir bagi membantu kemenangan BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum-sebelumnya.
"Walaupun beliau (Annuar) pernah menjadi wakil rakyat di sini (Kok Lanas dan Parlimen Ketereh) atas tiket UMNO, namun kali ini berbeza apabila beliau bersama dengan Pas," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Ujarnya, pelbagai limpahan pembangunan telah dibawa oleh BN semasa diberi mandat oleh rakyat pada PRU lalu.
Ahmad memberitahu, tiada keperluan rakyat di DUN Kok Lanas untuk tidak memberikan mandat kepada BN pada PRN kali ini.
"Insya-ALLAH jika kita (BN) diberi mandat sekali lagi, BN akan memberikan khidmat terbaik dalam membela nasib rakyat di Kok Lanas," katanya.
PRN kali ini menyaksikan penyandang kerusi DUN Kok Lanas, Md Alwi membuat 'kejutan' tidak mempertahankan kawasan itu.
Pada PRU14, Md Alwi menang dengan majoriti 1,122 menewaskan calon Pas dan PKR.