IPOH - Kerajaan Perak akan memanfaatkan penerbangan carter Kuala Lumpur - Ipoh - Guangzhou yang dijangka bermula Oktober tahun ini bagi menarik pelancong China ke negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, usaha penerbangan itu dilakukan pihak swasta dengan kerjasama Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak, Tan Kar Hing.
"Kita harap laluan Kuala Lumpur - Ipoh - Guangzhou menjadi laluan tumpuan amat popular seperti laluan Ipoh - Singapura.
"Kita akan adakan kolaborasi dengan beberapa pemain industri pelancongan dan pusat pelancongan di negeri ini bagi menyediakan pakej menarik kepada pelancong," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangan Perjanjian Persefahaman di antara Scanda Sky dan Amal oleh Malaysia Airlines Berhad (MAB) di sebuah hotel di sini hari ini.
Majlis tandatangan disempurnakan Pengerusi Eksekutif Scanda Sky, Tengku Faizwa Tengku Razif manakala MAB diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Amal oleh Malaysia Airlines, Hazman Hilmi Sallahuddin.
Sementara itu, Ahmad Faizal dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri menyambut baik usaha membawa destinasi penerbangan baharu ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS).
"Usaha ini secara langsung akan merancakkan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi di Perak," katanya.