KUALA TERENGGANU - Langkah Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini disifatkan sebagai tindakan berani dalam menongkah arus gelombang hijau di Terengganu.
Mengakui laluan yang akan ditempuh penuh mencabar, calon kerusi berkenaan, Luqman Long berkata, mereka mahu mengetepikan stigma terhadap parti baharu serta berpegang terhadap kemahuan rakyat yang akan diterjemahkan ketika hari pengundian pada 12 Ogos nanti.
"Tiada mana-mana parti politik sama ada UMNO atau Pas boleh mendabik dada mendakwa mereka selamat di Terengganu kerana iklim politik negeri ini sentiasa berubah-ubah," katanya ketika ditemui pemberita, baru-baru ini.
Menurut Luqman, peluang sentiasa terbuka untuk mana-mana parti bertanding kerana pengundi sudah semakin cerdik dan mahukan alternatif baharu serta kepimpinan yang lebih telus, profesional dan amanah.
"PRN kali ini adalah tapak awal untuk Muda mengembangkan ideologi dan pemikiran politik baharu untuk rakyat Terengganu.
"Ia perlu bagi memastikan mereka tidak perlu taasub kepada mana-mana parti politik kerana dasar dan polisi yang dibuat pemimpin akan memberi keuntungan kepada rakyat," ujar beliau.
PRN di DUN Bandar kali ini bakal menyaksikan berlakunya pertembungan tiga penjuru antara Muda, Pas dan UMNO.
Dalam pada itu, Luqman yang juga Ketua Penerangan Muda berkata, walaupun mereka tidak mempunyai kekuatan jentera parti yang ramai, kaedah berkempen secara moden menerusi media sosial amat membantu.
Selain itu, katanya, komuniti DUN Bandar juga lebih unik berbanding kawasan lain kerana ia adalah pusat ekonomi negeri Terengganu malah pengundinya juga lebih berfikiran terbuka.
"Kita tidak berkempen menggunakan kaedah konvensional ceramah sahaja, sebaliknya kami selesa memanfaatkan media sosial untuk menjalankan kempen digital kerana capaiannya lebih meluas termasuk pengundi luar.
"Kita juga memilih DUN Bandar setelah membuat kajian demografi yang kita rasakan pengundi di sini boleh menerima visi dan idea orang muda kerana komposisi kaumnya, latar belakang dan agama agak seimbang.
"Ia (DUN Bandar) adalah kawasan urban yang sesuai untuk Muda memperkenalkan cara politik baharu tanpa menyentuh isu lapuk seperti agama, bangsa dan menyerang peribadi pihak lawan," katanya.
Jelasnya lagi, selepas tidak bersama Pakatan Harapan (PH), Muda lebih bebas bersuara dan melontarkan pandangan serta prinsip yang menjadi asas perjuangan sekali gus menjadi asas dan kekuatan untuk bertanding secara solo pada PRN kali ini.
"PRN adalah platform terbaik untuk kami menarik lebih ramai penyokong dan membentuk pemimpin pelapis yang lebih berkualiti tanpa mengira kawan atau lawan.
"Muda mahu menjadikan PRN ini sebagai batu loncatan kepada politik yang lebih bersih dan meletakkan rakyat sebagai matlamat kepentingan utama mengatasi kepentingan peribadi semata-mata," katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Pas memenangi kerusi Dun Bandar menerusi Ahmad Shah Muhamed dengan majoriti 2,091 undi.
Ahmad Shah yang mendapat 7,133 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Toh Seng Cheng (5,042 undi) dan Azan Ismail dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang meraih 3,996 undi.