BN Terengganu tawar manifesto pikat anak muda

Iklan
Ahmad (tengah) bersama barisan calon BN Terengganu semasa melancarkan manifesto BN Terengganu di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Terengganu di Kuala Terengganu pada Selasa.

KUALA TERENGGANU - [KEMAS KINI] Barisan Nasional (BN) Terengganu melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan menawarkan lima teras yang menjanjikan masa depan cerah kepada rakyat terutama anak muda di negeri ini.

Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pihaknya yakin dapat memikat semula hati pengundi muda selain merampas negeri itu dengan menyediakan puluhan manifesto yang bertemakan 'Perpaduan Demi Kestabilan dan Kemakmuran'.

Iklan
Iklan

Menurutnya, lima teras itu merangkumi kebajikan dan sosial, pendidikan dan agama, infrastruktur, ekonomi serta orang muda dan belia.

"Kita mengajak orang muda supaya memikirkan masa depan mereka sebaik-baiknya untuk memilih BN yang kini berada dalam kepimpinan di peringkat pusat.

Iklan

"Ini kerana sangat penting bagi memastikan kerajaan negeri sealiran dengan kerajaan persekutuan kerana lebih banyak perancangan pembangunan dan kebajikan dapat dijalankan bersama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan manifesto BN Terengganu di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Terengganu di sini pada Selasa.

Iklan

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, antara manifesto BN Terengganu ialah dana pencen RM800, pinjaman pembelian motosikal tanpa faedah RM5,000 (subsidi RM500), bantuan komputer riba kepada pelajar institusi pengajian tinggi selain bantuan awal persekolahan kepada semua pelajar.

Bagi golongan muda pula, beliau memaklumkan, BN Terengganu akan mewujudkan Yayasan Kebajikan Anak Muda Terengganu, dana tahunan RM5,000 untuk persatuan belia, bantuan lesen memandu dan lesen perniagaan, memperbanyakkan kemudahan e-sukan, memperkasakan latihan kemahiran selain menjadikan sukan sebagai kerjaya.

Ujar bekas Menteri Besar Terengganu itu, pihaknya akan mengembalikan semula kegemilangan pendidikan negeri seperti yang pernah dicapai satu ketika dahulu.

"Ini dapat dibuktikan menerusi pelbagai tawaran antaranya mengagihkan semula e-book secara percuma kepada murid Tahun Dua di sekolah kebangsaan.

"Kita akan naik taraf sekolah-sekolah Menengah Imtiaz sedia ada dan bina baharu di Marang, Setiu dan Kuala Nerus serta membina sebuah Universiti Sains al-Quran di Terengganu.

"Kita juga akan meneruskan Lebuhraya Pantai Timur fasa ketiga, membina jalan empat lorong dari Kuala Terengganu ke Besut, membina 10,000 rumah mampu milik dan menaik taraf kemudahan infrastruktur di semua jeti pelancongan," jelas beliau.

Pada 5 Julai lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan bahawa PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijalankan serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian.

Tarikh penamaan calon di keenam-enam negeri ditetapkan pada 29 Julai manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

Pada Jumaat, BN mengumumkan 107 calon yang akan bertanding pada PRN di enam negeri bulan depan.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah tersebut merangkumi 62 peratus muka baharu, penyandang DUN (18 peratus) dan pernah bertanding (20 peratus).