YDP baharu fokus Inisiatif Taiping Bersih 90 Hari

Iklan
Borhan (dua, kiri) menerima surat tawaran perlantikan YDP MPT daripada Choo Kiong(dua kanan) yang mewakili kerajaan negeri Perak hari ini.

TAIPING - Program Inisiatif Taiping Bersih 90 Hari bakal menjadi agenda permulaan Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Taiping (MPT) baharu, Borhan Abdul Halim,59.

Menurutnya, ia untuk memastikan bandar Taiping benar-benar bebas sampah dan lestari alam.

Iklan
Iklan

Borhan yang baru dilantik mengangkat sumpah sebagai YDP MPT menggantikan Datuk Abd Rahim Md Ariff yang bersara wajib bermula 9 April lalu.

Beliau menegaskan program khas itu adalah program kebersihan bermatlamat mewujudkan aktiviti-aktiviti dan meningkatkan kesedaran awam dalam aspek pengurusan kebersihan dan kesihatan awam.

Iklan

Menurutnya, ia bakal merangkumi pelbagai aktiviti, kempen, pengurusan sisa pepejal, pengurusan aduan, pembangunan sistem pemantauan, tindakan pemulihan aduan jangka masa pendek dan panjang, penglibatan orang awam dalam menyalurkan idea dan sebagainya.

Borhan sewaktu mengangkat sumpah di majlis perlantikan beliau sebagai YDP MPT baharu di Dewan Teratai MPT hari ini.

"Inisiatif ini menunjukkan MPT benar-benar komited dalam usaha menangani isu-isu berkaitan kebersihan bandar Taiping dan taman-taman perumahan.

Iklan

"MPT telah membelanjakan hampir RM5.5 juta setahun untuk mengurus sisa pepejal di kawasan-kawasan operasi MPT, bermakna perbelanjaan mengurus secara bulanan adalah sekitar RM450,000 dengan kutipan sisa pepejal sehari kira-kira 380,000 tan matrik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Mengangkat Sumpah dan Menerima Jawatan Yang Dipertua sebagai Ahli Majlis MPT di sini hari ini.

Majlis dirasmikan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak, Yong Choo Kiong.

Borhan berkata, sebanyak empat syarikat dilantik MPT untuk menjalankan operasi kutipan sampah di lima bahagian zon kawasan termasuk pusat bandar Taiping dengan melibatkan 17 buah jentera.

Borhan (lapan, kanan) bersama Choo Kiong(tujuh kanan) menyempurnakan majlis perasmian Program Insiatif Taiping Bersih 90 Hari dilancarkan MPT bermula hari ini.

MPT menerima aduan berkaitan sampah dan kebersihan kira-kira 600 kes setahun termasuklah aduan-aduan longgokan sampah haram yang tidak pernah ada penghujung dan kesudahannya.

"Menerusi Inisiatif Taiping Bersih 90 Hari, MPT akan mengenal pasti punca aduan dan akan bersama-sama masyarakat untuk menanganinya.

"Dengan cara ini, MPT bukan sahaja dapat mengurus tindakan pemulihan malah dapat mendidik dan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap cara mengurus sampah dengan bijak," katanya.

Tegas beliau, MPT sedang berusaha melaksanakan tindakan pemulihan jangka masa panjang bagi memastikan jumlah sampah dibawa ke tapak pelupusan dikurangkan, iaitu hanya sampah yang benar-benar perlu untuk dilupuskan.

"Bahan buangan seperti botol-botol plastik, tin aluminium, bekas-bekas kaca, kertas plastik dan sebagainya dikumpul untuk dikitar semula.

"MPT juga telah memulakan langkah mengharamkan penggunaan polistrin dan bekas-bekas plastik sekali guna.

"Saya memberi jaminan MPT akan terus memantau dan memastikan aduan-aduan akan diberikan perhatian sewajarnya dan seboleh-bolehnya diselesaikan mengikut tatacara yang betul," katanya.