Ibu dakwa anak dicabul PU Azman cara 'pegang-pegang'

Iklan
PU Azman ditemani peguam ketika hadir di Mahkamah Sesyen Seremban pada Selasa.

SEREMBAN - Sambungan hari kedua perbicaraan kes amang seksual melibatkan penceramah selebriti, Azman Syah Alias atau dikenali Pencetus Ummah (PU) Azman di Mahkamah Sesyen di sini diteruskan dengan keterangan daripada ibu salah seorang lagi mangsa yang mendakwa anaknya turut dicabul tertuduh dengan cara 'pegang-pegang'.

Wanita berusia 45 tahun itu memberitahu, dia mengetahui perkara berkenaan setelah diceritakan oleh anaknya dalam perbualan di dapur rumah mereka di Klang, Selangor antara 21 Ogos hingga 29 Ogos tahun lalu.

Iklan
Iklan

"Dia cuma cakap PU Azman cabul dia pegang-pegang dan bila saya tanya sekali lagi pegang apa, dia hanya kata pegang-pegang.

"Dia tak cakap pegang di mana. Mungkin dia segan cakap dengan mak dia. Dia beritahu kejadian itu berlaku di Sendayan," katanya.

Iklan

Malah dia yang tampil sebagai saksi kelima turut memberitahu yakin yang anaknya adalah lelaki normal dan tidak songsang.

Kenyataan itu bagi menjawab soalan peguam Fahmi Adilah yang mewakili PU Azman, yang bertanya mengenai perkara terbabit termasuk sama ada mangsa suka kepada lelaki.

Iklan

"Dia tak suka lelaki. Dia cerita ramai perempuan minat dia. Saya tahu yang dia ini tak suka orang pegang dia, saya sendiri pun tak boleh, dia macam geli," jelasnya.

Wanita itu juga berkata, dia percaya yang anak kedua daripada lima beradik itu tidak menipu telah menjadi mangsa PU Azman.

Dalam pada itu ketika disoal Fahmi adakah dia mengetahui anaknya pernah meminta wang daripada tertuduh.

Dia menjelaskan tidak tahu, namun satu transaksi wang berjumlah RM200 pernah dimasukkan ke dalam akaunnya atas nama PU Azman.

"Anak saya ada minta nombor akaun saya kerana katanya ada duit nak dipulangkan kerana tersalah beli barang.

"Saya hanya tahu yang masukkan duit itu adalah PU Azman selepas inspektor polis beritahu kerana saya tak tahu nama sebenar dia,"katanya.

Dalam pada itu, prosiding membabitkan saksi keenam berusia 20 tahun yang merupakan kenalan kepada salah seorang mangsa terpaksa diadakan secara tertutup.

Ini kerana saksi terbabit dilihat seperti kurang selesa ketika memberi keterangan berikutan kehadiran PU Azman dalam kandang tertuduh.

Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh duduk di bahagian belakang (kerusi orang awam) dan dihadang dengan tirai.

Sebelum itu remaja lelaki itu memberitahu, dia turut menjadi mangsa gangguan seksual PU Azman dan mengetahui salah seorang rakannya turut menjadi mangsa.

"Saya yang tanya pada dia (mangsa) sebab dia rapat dengan Cik Man (PU azman), selepas saya sendiri kena gangguan seksual.

"Kejadian itu berlaku di rumah saya di Klang pada 10 Jun 2022, masa itu ada ibu, adik, saya, dia (mangsa) dan Cik Man," katanya.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi, Husni Fairos Ramly dan Goh Hsiao Tung manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Zahid Ahmad, Fahmi Adilah dan Norman Mohd Nasir.

Seramai 26 orang saksi dijangka dipanggil sepanjang kes perbicaraan tersebut yang bermula hari ini hingga 28 Julai depan.

Pada 12 Oktober 2022, PU Azman didakwa atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun lalu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun dengan cara melakukan perbuatan kelucahan melampau.

Kesalahan itu dilakukan di tandas dan ruang tamu sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai pada 6 Julai tahun lalu.

Selain itu, PU Azman turut berdepan tujuh lagi pertuduhan berhubung kesalahan jenayah seksual yang didakwa dilakukannya terhadap dua kanak-kanak dan seorang remaja di Mahkamah Shah Alam, Klang dan Ampang.