[VIDEO] BN-PH Kedah lancar manifesto Khamis ini - Mahdzir

Iklan

ALOR SETAR - Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Kedah bakal melancarkan manifesto pada Khamis sebagai tawaran kepada rakyat negeri ini jika terpilih membentuk kerajaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, manifesto yang ditawarkan itu adalah menjaga dan menyantuni semua golongan termasuk nelayan, pesawah, penoreh getah, belia dan wanita selepas kerajaan Kedah pimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor didakwa gagal berbuat demikian sejak tiga tahun lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, manifesto itu juga diyakini mampu membawa kestabilan serta kesejahteraan kepada rakyat.

"Ada banyak perkara yang akan dibentangkan dalam manifesto itu dan ia akan menyentuh mengenai perkara-perkara yang mampu memberi kebaikan kepada rakyat secara menyeluruh kerana kerajaan negeri ketika ini bukan saja gagal, malah tak buat apa-apa pun.

Iklan

"Apa yang beliau (Muhammad Sanusi) buat selain mengata orang lain? Kalau nak jadi pemimpin, anda kena serius kerana antara kepimpinan negeri dengan rakyat, di tengah-tengahnya ada pegawai kerajaan yang bertanggungjawab melaksanakan program demi pembangunan negeri," katanya pada sidang akhbar pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kepimpinan Perpaduan Negeri Kedah di Pejabat UMNO, Bangunan Tunku, dekat sini.

Iklan
Mahdzir (kanan) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kepimpinan Perpaduan Negeri Kedah di Pejabat UMNO, Bangunan Tunku, Alor Setar pada Selasa.

Mahdzir berkata, majlis pelancaran manifesto itu diadakan di tapak letak kereta, Bandar Laguna Merbok bermula jam 9 malam.

Menurutnya, setiap calon BN dan PH akan berada di pentas yang sama untuk diperkenalkan kepada umum.

"Ketika ini segalanya berjalan lancar. Kami juga bersetuju untuk melaksanakan jelajah kepimpinan sepanjang tempoh berkempen dan satu jawatankuasa melibatkan kedua-dua gabungan akan ditubuhkan untuk menyelaras siri jelajah tersebut.

"Jawatankuasa itu akan menyelaras kedatangan pemimpin-pemimpin Pusat ke Kedah dan menentukan lokasi terbaik untuk mereka berkempen. Maklumat lanjut mengenai perkara itu akan kita umumkan dari semasa ke semasa," ujar beliau lagi.