SHAH ALAM - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mencadangkan supaya kerajaan menggubal Akta Kebencian Kaum dan Ekstremisme Agama bagi menangani kes provokasi agama, bangsa dan raja (3R).
Zulkifli yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu berkata, ia berikutan perbuatan menghina raja atau sultan tidak sama dengan tindakan menghasut yang termaktub di bawah akta sedia ada.
"Institusi diraja sebagaimana agama adalah jauh lebih tinggi kedudukannya dan tidak selayaknya disamakan dengan mana-mana akta sedia ada.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan mengkaji untuk mewujudkan akta baharu berdasarkan aspek sivil yang mungkin dinamakan Akta Negara Bangsa mirip Akta Keharmonian Kaum di Singapura dan cadangan itu dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada mesyuarat Kabinet.
Dalam pada itu, Zulkifli turut menyarankan supaya kuasa sepenuhnya diberikan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memadam paparan aktiviti penghinaan institusi diraja, menyentuh sensitiviti agama, penularan maklumat palsu, serta perkauman di media sosial tanpa terikat kepada mana-mana pihak.
Menurutnya, kerajaan juga dicadangkan agar mewujudkan peruntukan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan bagi kes penghinaan agama Islam.
"Walaupun Islam adalah agama persekutuan, sehingga hari ini tiada peruntukan yang jelas dan tegas mengenai penghinaan agama Islam yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Selain daripada itu, undang-undang syariah juga mempunyai beberapa kelemahan yang mengakibatkan kesukaran untuk membuat pendakwaan dan pensabitan kes kerana skop kesalahan menghina agama adalah terlalu umum dan kabur,” ujarnya.
Selain itu, ulas beliau, Dewan Syura Penasihat Majlis Raja-Raja juga perlu ditubuhkan yang berperanan sebagai penghubung antara raja dan institusi kerajaan.
"Dalam konteks Malaysia, Dewan Syura Penasihat Majlis Raja-Raja boleh dianggotai oleh agamawan yang berpengalaman dalam tadbir urus hal ehwal agama Islam dan diiktiraf keilmuannya,” menurutnya.
Tambahnya, kerajaan disarankan supaya mengadakan dialog antara agama secara tertutup dan berfokuskan penglibatan para pemimpin agama.
"Fokus perbincangan lebih mencapah kepada akidah dan isu-isu global seperti perubahan iklim, ekstremisme agama, keamanan, dan pelbagai inisiatif sebagai masyarakat global (global citizen).
"Hasil perbincangan tersebut kemudiannya diterjemahkan dalam pelbagai bentuk program melibatkan masyarakat awam, mahasiswa, golongan profesional, bahkan pemimpin negara-negara dunia,” jelasnya.