IPOH - Suami isteri yang dipercayai menjadi dalang satu sindiket pengedaran dadah di negeri ini ditahan dalam satu pemeriksaan di sebuah rumah di Jelapang, pada Ahad.
Kedua-dua mereka berusia 30 dan 27 tahun itu diberkas sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak sekitar jam 3 petang.
Turut ditahan adik perempuan suspek berusia 19 tahun yang tinggal bersama di rumah itu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pemeriksaan ke atas sebuah kereta di rumah berkenaan menemui dadah dipercayai heroin seberat 10.71 kilogram bernilai lebih RM88,900.
"Polis turut merampas peralatan yang digunakan untuk membungkus dadah.
"Berdasarkan siasatan, sindiket ini mula aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak September tahun lalu dengan menyasarkan pasaran tempatan di seluruh negeri," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Beliau berkata, saringan air kencing mendapati pasangan tersebut positif dadah jenis morfin.
Mohd Yusri berkata, lelaki berkenaan yang bekerja sebagai pemandu lori juga mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan kes jenayah.
Ujarnya, tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 di mana pihak polis sudah menyita 22 unit barang kemas, sebuah lori, kereta dan motosikal dianggarkan bernilai RM192,168.
"Kejayaan ini adalah hasil kerjasama berterusan antara masyarakat dengan agensi penguat kuasa khususnya polis," katanya.