SINGAPURA - Arahan pembetulan telah dikeluarkan terhadap Lee Hsien Yang berhubung kenyataan yang dibuat di Facebook mengenai penyewaan hartanah di Ridout Road dan angka edaran SPH Media.
Kementerian Undang-undang menerusi kenyataan media pada Selasa memaklumkan tuduhan dibuat adik Perdana Menteri, Lee Hsien Loong, 71, itu adalah tidak benar.
Susulan itu, beliau dikehendaki membuat pembetulan di akaun Facebook miliknya dan menyatakan bahawa ia mengandungi kenyataan palsu selain menyertakan pautan kepada penjelasan pemerintah seperti ditetapkan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA).
Menerusi kenyataan itu, Hsien Yang, 65, mendakwa kos pengubahsuaian dua banglo di Ridout Road yang disewa oleh dua menteri, K Shanmugam dan Vivian Balakrishnan.
"Identiti penyewa tiada kaitan dengan kerja ubah suai yang dilakukan ke atas hartanah berkenaan.
"Kenyataan beliau mengetepikan maklumat penting iaitu projek itu dijalankan selaras dengan proses ditetapkan Penguasa Tanah Singapura (SLA) dan ia dinilai perlu dilaksanakan seperti dijelaskan Menteri Kedua Undang-undang, Edwin Tong di Parlimen pada 3 Julai lalu," tegas kementerian itu lagi.
Difahamkan, SLA yang berada di bawah Kementerian Undang-undang bertanggungjawab menjaga hartanah negara yang dipelihara termasuk dua banglo di 26 Ridout Road dan 31 Ridout Road.
Catatan Facebook Hsien Yang pada 23 Julai lalu juga mendakwa SPH Media yang menerbitkan akhbar The Straits Times, The Business Times, Lianhe Zaobao, Berita Harian dan Tamil Murasu sengaja mengubah angka edarannya dan merujuk ia sebagai satu entiti yang diberi 'wang pembayar cukai'.
Menurut kementerian itu, dakwaan itu tidak benar dan perkara tersebut berlaku ketika perniagaan media berkenaan masih berada di bawah SPH Limited yang tersenarai dalam Bursa Saham Singapura dan sebelum SPH Media Trust digabungkan. - Agensi